Asia

Tangan, payudara, telinga dikerat

Oleh Agensi

New Delhi: Gara-gara tidak melunaskan hutang dipinjamnya, seorang wanita di Bhagalpur, Bihar, India dibunuh kejam dengan tangan, payudara dan telinganya dikerat.

Penguasa Polis Bhagalpur, Swarna Prabhat mengesahkan identiti mangsa sebagai Neelam.

Beliau berkata, wanita itu meminjam wang daripada Shakeel Miyan untuk membiayai majlis perkahwinan anak perempuannya, namun dia gagal membayar balik pinjaman itu.

Katanya, kejadian itu tidak membabitkan isu keganasan perbezaan etnik dan agama.

Namun, mereka meningkatkan kawalan dengan menempatkan pasukan di kawasan berhampiran jambatan Scindia sebagai langkah berjaga-jaga.

"Shakeel Miyan dan Juddin Mian menyerang wanita itu pada Sabtu lalu.

"Wanita itu juga mengalami luka tikaman di kepala dan belakang.

"Namun, tiada siapa yang datang membantunya. Sebelum tidak sedarkan diri, Neelam menamakan penyerangnya dan ia dirakam telefon bimbit saksi," katanya.

Katanya, keluarga membuat laporan dan kedua-dua suspek akhirnya berjaya diberkas.

"Siasatan mendapati mangsa dan penyerangnya berjiran dan mempunyai hubungan mesra.

"Dia meminjam wang daripada lelaki itu untuk majlis perkahwinan anak perempuannya tetapi tidak dapat membayarnya semula hingga mengakibatkan suspek menyerangnya dengan senjata tajam.

"Mangsa diberi pertolongan cemas di hospital tempatan sebelum dirujuk ke Hospital Perubatan Jawaharlal Nehru, namun dia meninggal dunia ketika menerima rawatan," katanya seperti dipetik agensi berita ANI.

Suami mangsa mendakwa, Shakeel Mian membunuh isterinya kerana dia enggan membenarkan lelaki itu datang ke rumah mereka.

Lelaki itu sering datang ke rumah mereka, namun kedua-duanya bertengkar kerana isu kewangan.

Disiarkan pada: December 7, 2022 @ 1:39pm
d