Asia

Untunglah... dapat hantaran perkahwinan RM6.45 juta

Oleh Agensi

Beijing: Beruntungnya wanita di China ini apabila menerima hantaran mewah termasuk jutaan wang tunai, emas dan jam tangan daripada bakal suaminya.

Global Times melaporkan, bakal suami wanita itu, memberikan hantaran wang tunai 9.98 juta yuan (RM6.45 juta ) serta jongkong emas dan jam tangan mewah.

Lelaki itu membawa semua barangan mewah itu dalam sebuah trak di Wilayah Zhejiang.

Wang tunai berkenaan dibawa kakitangan syarikat pengiring profesional sebelum dimasukkan ke akaun bank bakal pengantin perempuan di sebuah bank tempatan.

Berdasarkan video yang dirakam orang ramai di lokasi kejadian, wang tunai itu diletakkan rapi dalam peti besi berwarna merah sekali gus menyerlahkan lagi suasana majlis perkahwinan pasangan itu.

Selain itu, jongkong emas dan jam tangan mewah turut dibalut dengan bungkusan merah.

Mengulas isu tular itu, pengantin lelaki berkata, hantaran seumpama itu sudah menjadi kebiasaan dan adat tempatan.

Isu hantaran tinggi pengantin perempuan itu menerima pelbagai reaksi dalam media sosial.

Segelintir melahirkan rasa iri hati terhadap wanita itu, malah ada antara mereka mendakwa hantaran tinggi tidak menjamin kebahagiaan rumah tangga.

Baru-baru ini, banyak bandar dan wilayah di seluruh China memperhebatkan usaha dalam mengekang hantaran pengantin yang terlalu tinggi.

Ini kerana adat itu semakin menjadi beban berat bagi keluarga terutama mereka di kawasan luar bandar.

Disiarkan pada: June 4, 2023 @ 12:20pm
d