Asia

Mulianya hati Siti Aisyah

Oleh Agensi

Jakarta: Biarpun tiada pertalian darah dan berlainan agama, namun wanita ini, sanggup membela anak majikannya yang dibawa dari Taiwan ke Indonesia.

Siti Aisyah berkata, dia menjaga anak majikannya, Sha Wang, 26, yang dilahirkan sindrom Down di Taiwan selama enam tahun.

Katanya, selepas tempoh perkhidmatannya tamat, dia meminta izin untuk pulang ke tanah air, namun bapa pemuda itu, bingung kerana tiada siapa boleh menjaga anaknya.

"Memahami kesulitan itu, saya menawarkan diri membawa Sha Wang memandangkan majikan dan isterinya sudah berpisah serta ibu Sha Wang tidak mahu menjaganya kerana anak ini memerlukan penjagaan rapi.

"Bapa Sha Wang menangis ketika melepaskan pemergian anaknya, namun dia tiada pilihan kerana tiada siapa lagi boleh menjaganya," katanya dipetik daripada TribunnewsBogor.com.

Siti Aisyah berkata, biarpun ibu dan abang Sha Wang membuang pemuda itu, namun bapanya sangat menyayanginya.

"Bapa Sha Wang sudah tua, namun dia masih kuat bekerja sebagai pengawal keselamatan perumahan untuk menyara keluarganya termasuk menanggung kos pengajian abang Sha Wang dan membayar gaji saya.

"Ketika anaknya dibawa ke Indonesia, bekas majikan saya masih berhubung untuk mengetahui keadaan Sha Wang dan memberikan wang keperluan anaknya.

"Namun, kami terputus hubungan selepas dia meninggal dunia kira-kira dua tahun kami pulang ke Indonesia ," katanya.

Katanya, kini dia menanggung Sha Wang sendirian kerana ibu pemuda itu enggan berkomunikasi dengannya lagi dan menyekat semua panggilan dan mesej.

"Keperluan Sha Wang menelan belanja besar.

"Selain makanan, Sha Wang juga memerlukan pelbagai keperluan lain seperti lampin pakai buang serta ubat-ubatan khas," katanya.

Terdahulu wanita ini tular selepas seorang ahli perniagaan dan aktivis pekerja asing, Faisal Soh berkongsi kisah mereka di TikTok miliknya.

Disiarkan pada: June 4, 2023 @ 2:51pm
d