Eropah

4 bilion dos vaksin Covid-19 disuntik

Oleh AFP

Paris: Lebih empat bilion dos vaksin Covid-19 diberikan di seluruh dunia selama lapan bulan selepas program vaksinasi bermula.

Suntikan global sedikit perlahan dengan dos keempat bilion dicapai dalam tempoh 30 hari sedangkan ia hanya memerlukan 26 hari untuk mencapai tiga bilion dos sebelumnya.

Jumlah bilion pertama dan kedua dicapai, masing-masing selepas 140 hari dan 40 hari.

Sebanyak 40 peratus atau 1.6 bilion daripada empat bilion suntikan diberikan di China, diikuti India (451 juta) dan Amerika Syarikat (343 juta).

Ketiga-tiganya dikenal pasti sebagai negara yang paling banyak memberikan suntikan imunisasi Covid-19.

Dari segi populasi negara dengan lebih daripada sejuta orang, Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengetuai senarai kadar tertinggi apabila 168 dos pertama dan dos kedua diberikan untuk setiap 100 penduduk, diikuti Uruguay (137) dan Bahrain (134).

Hampir 70 peratus penduduk UAE lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19, sementara Uruguay dan Bahrain mencapai lebih daripada 60 peratus.

Negara membangun lain seperti Qatar, Chile dan Kanada (129 suntikan untuk setiap 100 penduduk), Israel (128), Singapura (125), United Kingdom, Mongolia dan Denmark (124) dan Belgium (121).

Semua negara ini sudah memvaksinasi lebih daripada separuh populasi mereka.

Tidak jauh ketinggalan adalah China (111), Amerika Syarikat (AS), (104) dan negara Kesatuan Eropah (EU) (103).

AS dan negara EU memvaksinasi hampir separuh populasinya, sementara China tidak mendedahkan maklumat itu.

Sebahagian besar negara miskin sudah mula melakukan vaksinasi, susulan program Program Perkongsian Vaksin Global (Covax) dan sumbangan dos yang tidak digunakan oleh negara maju, tetapi liputan vaksinasi tetap tidak sama.

Negara berpendapatan tinggi seperti yang ditentukan oleh Bank Dunia memberikan purata 97 dos untuk setiap 100 penduduk berbanding dengan hanya 1.6 dos di negara berpendapatan rendah.

Rata-rata 52 suntikan diberikan untuk setiap 100 penduduk di seluruh dunia.

Tiga negara belum melakukan vaksinasi Covid-19 adalah Burundi, Eritrea dan Korea Utara.

Disiarkan pada: August 2, 2021 @ 7:15am
d