Eropah

Greece turut alami kebakaran hutan, rumah penduduk musnah

Oleh AFP

Athens: Kira-kira 300 anggota bomba, dua pesawat bom air dan lima helikopter bertungkus lumus memadam kebakaran hutan di Greece sejak Sabtu, yang memusnahkan rumah dan bangunan ladang serta menyebabkan lapan orang cedera.

Ketika melawat lokasi itu pada Ahad, Menteri Pertahanan Awam Michalis Chisochoidis memuji tindakan pantas bomba yang berjaya menyelamatkan puluhan harta benda daripada musnah.

Menurutnya, keadaan semakin baik berbanding Sabtu. Pihak berkuasa sudah membuka kembali jalan dan jambatan utama di wilayah terjejas dekat Patras di Peloponnese, 210 kilometer dari barat Athens.

Dalam pada itu, Datuk Bandar Aigialeias, Dimitris Kalogeropoulos menyifatkan kebakaran berkenaan sebagai 'malapetaka besar.'

"Setakat ini belum ada penilaian rasmi jumlah kerosakan, tetapi kira-kira 10 rumah di kawasan Ziria musnah terbakar, begitu juga kandang dan bangunan ladang, yang mana kebanyakan penduduk wilayah itu mencari rezeki dalam bidang agrikultur," katanya kepada agensi berita ANA.

Kebakaran tercetus pada Sabtu dengan pihak berkuasa bertindak memindahkan penduduk di lima perkampungan dan bandar tepi pantai. Lapan orang dirawat di hospital kerana melecur dan mengalami kesukaran bernafas.

Selain itu, Majlis Perbandaran Aigialeias menyediakan perkhidmatan kecemasan kepada penduduk yang terpaksa meninggalkan rumah mereka.

"Kami takut kehilangan segala-galanya akibat kebakaran ini," kata seorang penduduk Ziria, Giorgos Alexopoulos kepada AFP.

Resort tepi laut Loggos turut dikosongkan dan perkhidmatan kecemasan menghantar 100 penduduk dan pelancong ke bandar berdekatan, Aigio.

Akhbar tempatan, Patras Times melaporkan, kebakaran itu sudah memusnahkan 30 rumah, kandang dan bangunan ladang di perkampungan Ziria, Kamares, Achaias dan Labiri. Turut musnah, kebun zaitun tempatan.

Sebanyak 60 kebakaran hutan tercetus dalam tempoh 24 jam, namun berjaya dikawal bomba membabitkan pelbagai aset pemadaman api.

Sistem Maklumat Kebakaran Hutan Eropah pula memaklumkan 13,511 hektar hutan terbakar sehingga Ahad.

Greece berdepan kebakaran hutan pada musim panas setiap tahun tetapi, pakar memberi amaran pemanasan global akan menyebabkan peningkatan bencana itu.

Disiarkan pada: August 2, 2021 @ 12:29pm
d