Eropah

Gelgi dinobat wanita tertinggi di dunia

Oleh Agensi

Ankara: Seorang wanita Turki yang memiliki ketinggian 215.16 sentimeter diiktiraf sebagai wanita yang tertinggi di dunia.

Rumeysa Gelgi, 24, mendapat pengiktirafan itu daripada Guinness World Records (GWR).

Badan pengiktirafan rekod dunia itu dalam satu kenyataan mendedahkan, ketinggian luar biasa wanita berkenaan disebabkan keadaan dipanggil Sindrom Weaver.

Sindrom ini menyebabkan perkembangan seseorang menjadi pantas.

Gelgi dan penyandang kepada rekod lelaki tertinggi dunia kedua-duanya adalah individu kelahiran Turki.

Ukuran ketinggian Gelgi dibuat tahun ini selepas dia diiktiraf sebagai remaja perempuan tertinggi dunia pada 2014 pada usianya 18 tahun.

Disebabkan ketinggiannya luar biasa, Gelgi hanya dapat berjalan pada masa yang singkat, serta selebihnya terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda.

Gelgi menggunakan peluang yang ada dengan memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai keadaan luar biasa seperti dialaminya itu.

"Setiap kekurangan dapat diubah kepada kelebihan kepada diri sendiri. Jadi terimalah diri kamu dengan seadanya, sedari potensi diri dan buatlah yang terbaik," katanya kepada CNN.

Sementara itu, Ketua Pengarang GWR, Craig Glenday berkata, Gelgi memberitahu ketinggiannya sering menjadi perhatian orang lain.

Namun, kebanyakan orang sangat baik dan menyokong wanita itu.

"Ia satu penghormatan untuk menyambut Gelgi memegang rekod ini.

"Semangat dan kebanggaannya yang menonjol menjadi inspirasi.

"Kategori wanita tertinggi yang masih hidup bukan selalu bertukar-tukar, jadi saya sangat teruja berkongsi berita ini kepada dunia," katanya.

Disiarkan pada: October 15, 2021 @ 7:02am
d