Eropah

Kematian David Amess dikait serangan pengganas [METROTV]

Oleh Agensi

London: Polis British menyiasat kes pembunuhan Ahli Parlimen David Amess di Gereja Belfairs Methodist, Leigh-on-Sea semalam sebagai insiden serangan pengganas.

"Siasatan awal mendedahkan terdapat potensi motif serangan yang berkait pelampau Islam," menurut jabatan itu dalam kenyataan yang dilapor AFP.

Menurut Polis Essex dilapor Independent, siasatan mengambil kira semua aspek yang menjadi motif serangan suspek.

Setakat ini, polis menahan lelaki berumur 25 tahun dan menemui pisau yang dipercayai digunakan untuk membunuh Amess.

Maklumat serangan diterima pada 12.05 tengah hari waktu tempatan semalam, dengan ahli politik berusia 69 tahun daripada parti Konservatif pimpinan Perdana Menteri Boris Johnson itu dilapor ditikam berkali-kali.

Amess menerima rawatan di tempat kejadian dan saksi mendakwa melihat polis membawa keluar seorang lelaki (suspek) dari gereja itu.

Ketika kejadian, pemimpin berkenaan sedang mengadakan perjumpaan mingguan dengan penduduk di kawasan Parlimennya yang turut diiklankan dalam akaun Twitter rasminya.

Disiarkan pada: October 16, 2021 @ 8:33am
d