Eropah

Rusia rekod lebih 1,000 kematian akibat Covid-19

Oleh AFP

Moscow: Buat pertama kalinya, Rusia merekodkan lebih 1,000 kematian akibat Covid-19 dalam tempoh 24 jam.

Angka dikeluarkan kerajaan menunjukkan 1,002 kematian dan 33,208 kes jangkitan baru dilaporkan dalam tempoh berkenaan.

Ini adalah hari ketiga berturut-turut Rusia mencatatkan kes tertinggi.

Setakat ini, hanya 31 peratus penduduk Rusia sudah menerima vaksin, menurut laman web Gogov.

Kekurangan sekatan yang ketat menyebabkan penyebaran virus, walaupun beberapa wilayah memperkenalkan semula kod QR untuk memasuki tempat awam.

Kremlin mengelak untuk melaksanakan semula sekatan besar-besaran walaupun kadar vaksinasi sangat rendah.

Pihak berkuasa menyalahkan warga Rusia sebagai penyumbang kepada peningkatan jangkitan.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata, kerajaan sudah melakukan banyak usaha untuk memberi peluang kepada orang awam menyelamatkan nyawa dengan pengambilan vaksin.

Walaupun vaksin yang dibangunkan Rusia sudah beberapa bulan ditawarkan, namun kerajaan masih bergelut untuk menyuntik populasi yang ragu-ragu terhadap vaksin.

Undian bebas menunjukkan separuh daripada penduduk Rusia tidak merancang untuk mendapatkan suntikan.

Disiarkan pada: October 16, 2021 @ 6:09pm
d