Eropah

Keluarga paling ramai albino

Oleh Agensi

London: Sekeluarga dari United Kingdom (UK) memperoleh pengiktirafan Guinness World Records bagi bilangan adik-beradik paling ramai menghidap albino.

Keluarga Parvez yang tinggal di serata UK mempunyai enam beradik yang mempunyai kulit dan rambut putih.

Mereka ialah Naseem, 42, Ghulam, 40, Haider 38, Muqadas, 36, Musarat, 30, dan Mohammed, 27, bahkan 15 anggota keluarga lain turut mempunyai genetik itu sekali gus teramai di dunia.

Naseem Akhtar yang mewakili keluarganya untuk rekod itu berkata, keluarganya sangat teruja apabila dimaklumkan usaha dilakukan untuk memecah rekod dunia terbabit.

"Sangat susah untuk memecah rekod dan membabitkan banyak kertas kerja, namun akhirnya berbaloi.

"Rekod ini menjadi pemangkin semangat dan meningkatkan keyakinan diri serta keluarga kami. Kami bangga walau siapapun kami," katanya yang dilapor Mirror.

Adik-beradik itu mewarisi albinism daripada ibu bapa, Aslam, 64, dan isteri, Shameem, 65, yang kedua-duanya memiliki kulit putih.

Selain mereka, terdapat anak saudara dan ahli keluarga lain juga menghidap albino.

Naseem yang juga pegawai pemulihan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) memaklumkan sejak dahulu keluarganya berdepan diskriminasi dan buli.

"Kami tidak diterima komuniti. Ada najis anjing diletakkan di depan rumah, tingkap rumah kami dipecahkan dan pernah sekali mercun diletakkan dalam peti surat kami.

"Tetapi sekarang kami bangga dengan diri kami. Orang akan sentiasa bercakap, tetapi kita tak semestinya perlu mendengarnya," katanya.

Dia kini mahu mendidik dan menyedarkan masyarakat mengenai albinism.

"Saya bersemangat untuk mendidik orang ramai mengenai keadaan ini supaya mereka faham dan tahu impaknya kepada mereka yang terkesan," katanya.

Disiarkan pada: October 18, 2021 @ 7:01am
d