Eropah

Jerman galak naik pengangkutan awam

Oleh Agensi

Berlin: Jutaan rakyat Jerman memanfaatkan musim panas untuk melakukan perjalanan lebih murah mulai bulan ini susulan pengenalan skim tiket 9 euro (kira-kira RM41.46) sebulan.

Inisiatif diperkenalkan kerajaan itu bertujuan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dan menangani peningkatan kos sara hidup.

Skim tiket sebulan itu diperkenalkan mulai 1 Jun yang membenarkan orang ramai melakukan perjalanan menggunakan semua mod pengangkutan bandar dan wilayah.

Tiket itu boleh digunakan di seluruh negara dalam tempoh tiga bulan sehingga akhir Ogos.

Pelaksanaan skim itu akan menyaksikan kerajaan terpaksa membelanjakan 2.5 bilion euro (kira-kira RM11.5 bilion).

Skim itu menawarkan orang ramai terutamanya mereka yang gemar mengembara hujung minggu untuk memilih menaiki pengangkutan awam.

Bagaimanapun, pengkritik memberi amaran mengenai kesan langkah itu terhadap kapasiti kereta api, bas dan trem.

Mereka berpendapat, apabila tempoh tiga bulan itu tamat, harga tiket mungkin dinaikkan dengan ketara kerana kesan inflasi, yang dijangka seterusnya menjadikan pengangkutan awam kurang menarik.

Menteri Pengangkutan Jerman Volker Wissing menggelar skim tiket 9 euro sebagai 'peluang besar' untuk mobiliti mesra iklim di Jerman.

Beliau memberitahu parlimen, skim itu sudah berjaya sebelum ia dilancarkan "kerana semua orang di Jerman bercakap mengenai pengangkutan awam."

Disiarkan pada: July 1, 2022 @ 6:50am
d