Eropah

90 peratus penduduk dunia ada imuniti terhadap Covid-19 - WHO

Oleh AFP

Geneva: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat menganggarkan 90 peratus penduduk dunia kini mempunyai sedikit daya tahan terhadap Covid-19, tetapi memberi amaran bahawa varian baharu yang membimbangkan masih boleh muncul.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, jurang dalam kewaspadaan membuka pintu untuk varian baharu virus itu muncul dan mengatasi Omicron yang dominan di seluruh dunia

"WHO menganggarkan bahawa sekurang-kurangnya 90 peratus penduduk dunia kini mempunyai beberapa tahap imuniti terhadap Covid-19 disebabkan oleh jangkitan atau vaksinasi sebelum ini.

"Kami lebih hampir untuk dapat mengatakan bahawa fasa kecemasan pandemik sudah berakhir tetapi belum sampai ke sana.

"Jurang dalam pengawasan, ujian, penjujukan dan pemvaksinan terus mewujudkan keadaan sempurna untuk varian membimbangkan baharu mungkin muncul yang menyebabkan (kes) kematian yang ketara," kata Tedros kepada pemberita merujuk kepada virus yang menyebabkan penyakit Covid-19.

Menurut Tedros, hujung minggu lalu, genap setahun WHO mengumumkan Omicron sebagai varian membimbangkan pada pandemik Covid-19

Sejak itu, ia sudah melanda dunia dan terbukti dengan ketara lebih mudah ditularkan berbanding varian sebelumya iaitu Delta.

Tedros berkata, kini terdapat lebih daripada 500 subketurunan Omicron yang sangat boleh ditularkan dan semuanya boleh mengatasi imuniti, walaupun ia cenderung kurang teruk berbanding varian sebelumnya.

Sebanyak 6.6 juta kematian kepada WHO, daripada hampir 640 juta kes berdaftar di seluruh dunia.

Bagaimanapun, agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu mengatakan ada jumlah kes yang tidak dikira, dan ini tidak mencerminkan angka sebenar.

Tedros berkata lebih 8,500 individu meninggal dunia akibat Covid-19 minggu lalu.

"Ini tidak boleh diterima sejak tiga tahun selepas pandemik apabila kita mempunyai begitu banyak alat untuk mencegah jangkitan dan menyelamatkan nyawa," katanya.

Disiarkan pada: December 3, 2022 @ 12:35pm
d