Eropah

Dibayar RM498,640 setahun untuk makan tengah hari, baca akhbar

Oleh Agensi

Dublin: Makan gaji buta. Itu yang dialami seorang kakitangan khidmat kereta api di Ireland yang tetap dibayar gaji walaupun tidak melakukan sebarang kerja.

Pengurus kewangan rangkaian kereta api nasional, Irish Rail, Dermot Alastair Mills mendakwa, dia didiskriminasi kerana dibayar hampir €108,000 (RM498,640.01) setahun hanya untuk makan tengah hari dan membaca akhbar sepanjang hari.

Katanya, selepas menyalurkan maklumat mengenai isu perakaunan syarikat pada 2014, dia secara beransur-ansur dilepaskan daripada hampir semua tugasnya.

Dan sehingga kini dia menghabiskan sebahagian besar harinya hanya dengan makan tengah hari dan membaca akhbar sahaja dan majikan tetapi membayar gaji setiap bulan.

"Saya pergi ke bilik, menghidupkan komputer dan melihat emel, tetapi tiada emel yang dikaitkan dengan kerja, tiada mesej, tiada komunikasi, tiada komunikasi rakan sekerja.

"Saya duduk, membaca akhbar dan makan sandwic. Kemudian kira-kira jam 10.30 pagi, jika ada emel yang memerlukan jawapan, saya menjawabnya.

"Jika ada kerja yang berkaitan dengannya, saya melakukan kerja itu. Boleh katakan jika saya mendapat sesuatu yang memerlukan saya melakukan kerja sekali dalam seminggu pun saya akan teruja," katanya ketika membuat laporan kepada Suruhanjaya Perhubungan Tempat Kerja Ireland (WRC).

Mills berkata, dia bertanggungjawab terhadap satu belanjawan modal sejak 2000 sehingga kejatuhan kewangan pada 2007 sebelum dinaikkan pangkat pada 2010.

Namun. kerjayanya mula merudum pada 2013 apabila dia didakwa dibuli dan terpaksa mengambil cuti sakit selama tiga bulan.

Mills mendakwa, apabila dia kembali, dia melihat isu tertentu dengan penghutang dan menghantar laporan kepada ketua eksekutif Irish Rail pada Mac 2014, sebelum membuat pendedahan kepada Menteri Pengangkutan.

Sejak itu, peranannya di syarikat diketepikan.

"Saya berasa dipulau dan dikecualikan daripada mesyuarat syarikat dan sebarang peluang latihan," katanya.

Menurut laporan, kes itu dijadual dibicarakan pada awal tahun hadapan.

Disiarkan pada: December 5, 2022 @ 12:21pm
d