Eropah

Peluru berpandu jatuh tengah jalan

Oleh Agensi

Kyiv: Penduduk Ukraine yang berada di sekitar ibu negara panik selepas objek seakan peluru berpandu jatuh bersepai di lebuh raya berhampiran, Isnin lalu.

Rakaman menunjukkan, letupan disusuli kepulan asap tebal itu menyebabkan serpihan jatuh hampir mengenai sebuah kereta yang sedang bergerak, namun tiada kecederaan dilaporkan.

Stesen metro di seluruh bandar penuh sesak dengan orang ramai yang berlindung, sementara amaran udara masih berterusan dibunyikan.

Penduduk kelihatan panik bergegas mencari perlindungan lebih selamat.

Sebelum itu, sebahagian daripada mereka tidak mengendahkan siren kecemasan itu ketika mereka bersarapan di kafe.

Datuk Bandar Vitali Klitschko berkata, letupan kedengaran di daerah tengah ibu negara dan perkhidmatan kecemasan dikerahkan ke lokasi segera.

"Serangan ke atas Kyiv berterusan. Jangan tinggalkan tempat perlindungan," katanya kepada orang ramai menerusi Telegram.

Rusia melancarkan salah satu serangan udara terbesarnya dalam beberapa minggu, beberapa jam selepas melepaskan puluhan dron.

Serangan itu berlaku beberapa jam sebelum Moscow menjadi sasaran dron yang merosakkan beberapa bangunan.

Pihak berkuasa berkata, semua peluru berpandu Rusia ditembak jatuh, namun seorang mangsa di daerah Podil dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Disiarkan pada: June 1, 2023 @ 2:32pm
d