Eropah

78 negara hadiri majlis pelantikan Presiden Turkiye Erdogan

Oleh Bernama-Anadolu

Ankara: Pegawai peringkat tinggi dari 78 negara dijadual menghadiri majlis angkat sumpah Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan pada Sabtu, lapor Agensi Anadolu.

Majlis perasmian di Kompleks Presiden akan dihadiri oleh 21 ketua negara, 13 perdana menteri, serta wakil peringkat parlimen dan menteri, dan wakil pertubuhan antarabangsa, termasuk Pertubuhan Negara-negara Turki (OTS), NATO dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Erdogan akan mengangkat sumpah di Perhimpunan Kebangsaan Besar Turkiye pada jam 2 petang waktu tempatan seterusnya memulakan penggal baharunya.

Beliau akan menerima mandat daripada Speaker Sementara Grand National Assembly, Devlet Bahceli.

Beliau dijangka mengumumkan barisan Kabinetnya selepas makan malam.

Erdogan memenangi pilihan raya presiden pusingan kedua pada Ahad lepas dengan memperoleh 52.18 peratus undi.

Calon pembangkang Kemal Kilicdaroglu memperoleh 47.82 peratus, menurut keputusan akhir yang dikeluarkan oleh Majlis Pilihan Raya Tertinggi negara itu.

Disiarkan pada: June 3, 2023 @ 9:27am
d