Eropah

Pelbagai reka bentuk keranda ada...

Oleh Agensi

Edinburgh: Lari dari kebiasaan, sebuah syarikat pengebumian menawarkan inovasi keranda dengan pelbagai reka bentuk mengikut cita rasa pelanggan.

Syarikat Go As You Please menawarkan keranda buatan khas antaranya gulungan sosej Greggs, sebotol wiski Bell, Doctor Who Tardis, kotak penyedut hampagas Dyson, Star Wars, Game of Thrones, The Walking Dead, Harry Potter dan Only Fools and Horses.

Pengurus besar syarikat itu, Scott Purvis berkata, mereka mempunyai cawangan di timur laut, England dan di Edinburgh, Scotland.

Katanya, kebanyakan pelanggan mahu membina keranda berdasarkan nilai sentimental mahupun pengalaman semasa hayat mereka.

"Misalnya, kotak Dyson dicipta untuk seseorang yang mempunyai sejarah membaiki 'hoover' lama.

"Satu lagi keranda dibuat daripada palet lama sebagai penghormatan kepada seorang lelaki yang menggunakan kepingan kayu untuk mencipta bangsalnya," katanya kepada Sky News.

Katanya, masyarakat kini sudah terbuka termasuk mahu menguruskan keperluan pengebumian sendiri sebelum mereka meninggal dunia.

"Ia juga memberi mereka peluang untuk melakukan pengebumian yang mereka inginkan dan meringankan beban keluarga apabila tiba masanya," katanya.

Katanya, cara berkenaan menggalakkan individu itu serta keluarganya terbabit membuat pilihan keranda yang mereka mahukan.

"Kami ada ramai pelanggan yang mencipta montaj foto keluarga selama bertahun-tahun.

"Mereka membawa keluarga bersama-sama untuk melekatkan gambar itu pada keranda kosong," katanya.

Disiarkan pada: June 3, 2023 @ 12:07pm
d