itmetro

Era digitalisasi sangat pantas

Oleh Muhammad Saufi Hassan

BOLEH dikatakan setiap minggu ada saja kes membabitkan penipuan dalam talian dilaporkan membabitkan angka kecil sehingga kepada nilai jutaan ringgit sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

Masih wujud pengguna Internet di negara ini yang tidak begitu cakna dengan masalah penipuan dalam talian atau pendedahan berhubung bentuk penipuan itu kurang efektif sehingga masih ada segelintir yang terperdaya.

Berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2019 mencatatkan lebih 9,000 kes penipuan membabitkan nilai lebih RM400 juta berkaitan jenayah penipuan siber dan multimedia.

Oleh itu, wujud cadangan kepada kerajaan untuk menaik taraf Unit Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) kepada satu jabatan baharu khusus menangani jenayah siber di dalam negara sebagai contoh Jabatan Siasatan Jenayah Siber, PDRM.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata, menaik taraf kepada jabatan berkenaan adalah penting untuk mengekang sindiket penipuan ini termasuk memberi punca kuasa jelas kepada PDRM sebagai badan berautoriti.

"Kita melihat era digitalisasi di negara ini berlaku sangat pantas dan bukan saja Malaysia berdepan dengan masalah itu, sebaliknya seluruh dunia sedang berdepan dengan masalah sama.

"Dunia digital berubah begitu pantas sehingga polisi perundangan sudah terkebelakang pada hari ini. Jadi, perlu untuk Akta Jenayah Komputer 1997 dipinda semula kepada suatu undang-undang yang lebih berkesan.

"Jika kita lihat semula kepenggunaan Internet di negara ini, kita berada di kedudukan kesembilan tertinggi di dunia dengan jumlah penembusan sekitar 83 peratus dan merekodkan kadar pengguna baharu Internet lebih satu juta orang," katanya kepada #ITMetro, semalam.

Siraj berkata, akibat daripada arus digitalisasi yang pantas itu memberi kesan kepada kira-kira 31 akta lain.

"Antara akta itu adalah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010, Akta Perbadanan Harta Intelek 2002 dan ia termasuk Akta Kanak-Kanak 2001.

"Kita mahu mengawal ruang siber di negara ini supaya ia lebih selamat. Kita baharu bercakap mengenai jenayah siber, itu belum menyentuh soal buli siber yang menjadi normalisasi pada masyarakat hari ini.

"Memberikan komen jelik, memuat naik status menempelak yang keterlaluan dan bermacam lagi umpama sudah menjadi 'budaya baharu' bagi segelintir masyarakat," katanya.

Mengulas berhubung cadangan naik taraf Unit Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia PDRM, Siraj berkata, itu adalah langkah paling relevan untuk mengekang sebarang bentuk jenayah siber.

"Contohnya, jika syarikat A digodam oleh satu-satu pihak, mereka ingin melaporkan kes itu kepada siapa? Jika polis, pihak berkuasa berkenaan tidak mempunyai kemahiran teknikal yang cukup sedangkan kita boleh mengetahui siapa pelakunya.

"Jika kes itu dibawa kepada CyberSecurity Malaysia (CSM) kita boleh tahu siapa pelakunya dan tindakan boleh diambil. Sudah sampai masanya kita menaik taraf unit berkenaan kepada jabatan supaya langkah penguatkuasaan lebih efisien sekali gus membanteras ruang siber di negara ini dieksploitasi," katanya.

Disiarkan pada: January 26, 2021 @ 7:00am
d