itmetro

Akses awal Diablo 4 dibuka hari ini

Oleh Muhammad Saufi Hassan

Peminat permainan siri Diablo 4 terbitan Blizzard Entertainment sudah boleh mengakses edisi awal permainan berkenaan bermula awal pagi tadi iaitu tiga hari sebelum pelancaran rasminya pada Selasa depan.

  Pemain yang memiliki akses awal adalah yang membeli edisi Deluxe Digital atau Ultimate Edition diberikan hak eksklusif untuk mula menikmati judul baharu Diablo 4.

  Untuk pemain yang hanya memiliki edisi standard, akses penuh akan diberikan pada 6 Jun ini dan ia adalah pelancaran di seluruh dunia oleh Blizzard Entertainment.

  Siri permainan itu mula diperkenalkan pada tahun 1997 dengan siri Diablo sebelum siri kandungan lanjutan setahun selepas itu dengan judul Diablo: Hellfire.

  Dua tahun selepas itu, Diablo 2 diperkenalkan dan sedekad selepas itu barulah Diablo 3 memasuki pasaran dan terbaru Diablo 4 yang dijangka akan mempunyai kandungan lanjutan beberapa bulan selepas ia dilancarkan.

  Untuk siri Diablo 4 ini, ia adalah lanjutan daripada sekuel Diablo 3 apabila muncul musuh baharu dikenali sebagai 'Lilith'.

  Pemain boleh memilih lima kelas karektor iaitu Necromancer, Sorcerer, Druid, Rogue dan Barbarian.

  Kelima-lima karektor berkenaan mempunyai kelebihan tersendiri dan ia bergantung kepada konsep cara permainan pemain untuk mengembangkan skil dan kelebihan sesuatu karektor.

  Untuk pemain baharu yang mengenali dunia permainan Diablo ini, karektor yang paling mudah dan mampu bertahan dalam gelombang musuh yang ramai adalah Necromancer.

  Pemain tidak memerlukan pengetahuan yang khusus untuk karektor kelas ini malah keupayaan 'dark magic' mampu untuk bertahan jika berdepan dengan ketua musuh setiap peringkat.

   

Disiarkan pada: June 2, 2023 @ 4:54pm
d