ku-bela

Tambah ceria ada 'meow'

Oleh Hafiz Ithnin

TERNYATA kehadiran lima si 'bulus' menambah keceriaan, terapi dan mengeratkan ikatan buat Ardini Sophia Sina, 36, dan keluarganya.

Sebenarnya Ardini tidak pernah membela kucing walaupun ketika kecil. Kini memiliki lima kucing itu juga adalah secara tidak sengaja.

Ardini berkata, ketika keluarganya baharu berpindah rumah, ada seekor kucing betina bunting sering datang ke rumahnya dan tidak menyangka empat anak milik si ibu itu kini menjadi haiwan peliharaan mereka sekeluarga.

"Ketika kami baharu berpindah kucing bunting itu sering datang dan melahirkan anak di tempat lain.

"Kemudian suami mengusik saya bertanyakan mengenai keberadaan 'anak' saya itu. Tanpa disangka si ibu itu membawa empat anaknya ke rumah kami dan ibunya pula menghilangkan diri," katanya.

Ardini berkata, permulaan empat kucing yang dimiliki mereka sekeluarga adalah jenis baka tempatan. Dua jantan dan dua betina yang dinamakan sebagai Ayong, Moki, Ateh dan Tiger.

"Pada tahun ini, Moki melahirkan tiga anak dan anaknya saya berikan kepada kawan. Hanya seekor yang dijaga menjadikan ketika ini kami mempunyai lima kucing," katanya.

Jelasnya, sejak mempunyai kucing dia perlu mempunyai ilmu pengetahuan mengenai haiwan berkenaan dan sentiasa mencari maklumat mengenai cara penjagaan serta isu kesihatan kucing.

"Apabila sudah mempunyai kucing, sudah menjadi seperti tanggungjawab supaya haiwan kesayangan kami ini sentiasa dalam keadaan sihat.

"Memandangkan saya tidak pernah mempunyai kucing sebelum ini, saya banyak membuat pencarian maklumat mengenai cara penjagaan dan isu kesihatan di laman web serta menyertai kumpulan pemilik kucing di laman sosial," katanya.

Ardini berkata, perkara itu penting kerana sebelum ini semua kucingnya pernah mengalami masalah kesihatan sehingga salah satu daripadanya hampir mati.

"Ketika itu saya tidak tahu mengenai isu kesihatan kucing dan apabila Ateh buta, saya amat peka dengan isu kesihatan haiwan berkenaan.

"Kucing peliharaan kami ini sudah dianggap seperti ahli keluarga sehinggakan anak saya menggelarkan dirinya 'abang' kepada kucing berkenaan. Jadi, kami tidak mahu haiwan kesayangan ini sakit," katanya.

Tambahnya, selain dari isu kesihatan dia amat menitikberatkan mengenai makanan yang berkualiti untuk diberikan kepada haiwan kesayangan.

"Makanan adalah perkara paling penting kerana bukan semua jenis makanan sesuai dengan diet kucing. Saya perlu pastikan ia tidak mempunyai garam yang tinggi umpamanya kerana ia boleh menyebabkan masalah kesihatan.

"Setiap bulan saya berbelanja antara RM500 hingga RM600 untuk makanan mereka. Bagi saya ia bukan suatu pembaziran kerana kami percaya keberkatan dalam menjaga haiwan," katanya.

Disiarkan pada: June 29, 2022 @ 7:20am
d