ku-bela

Endut tak boleh 'kentut' [METROTV]

Oleh Nurul Husna Mahmud

Peminat kartun generasi era 1980 hingga 1990-an pasti mengingati watak kartun Pepe' Le Pew yang kontroversi apabila karakter itu 'digugurkan' ketika sekuel animasi Space Jam: New Legacy.

Ia dikatakan berpunca daripada sifat karakter itu dilihat tidak sesuai untuk tontonan umum meskipun sebahagian peminat siri kartun Looney Tunes berpendapat Pepe' Le Pew komedi ringan yang bergenre 'dewasa'.

Mendalami latar belakang karakter iaitu seekor skunk romantis dalam 'pelat' Perancis sepatutnya mampu menawan karakter kucing betina, tetapi tidak disukai sama sekali malah dijauhi kerana ciri semula jadi iaitu 'senjata' khas yang mampu membuatkan pemangsa haiwan itu gerun dengannya.

Skunk di habitat liarnya melindungi diri dengan merembeskan cecair berbau busuk sehingga memaksa pemangsa mahupun apa saja yang mengancam haiwan itu menghindarinya.

Semburan itu berpunca daripada dua kelenjar berhampiran dengan pangkal ekor mamalia itu dan dikatakan semburan itu boleh mengenai sasaran sejauh 3.7 meter.

Dalam keadaan tertentu skunk akan bermula dengan tanda amaran iaitu dengan hentakan kaki mara ke depan, ekor dinaikkan dan bunyi mengeram.

Jika orang atau haiwan mengancam tidak menunjukkan tanda berundur skunk tidak teragak-agak menyembur cecair berbau busuk dengan mensasarkan mata. Bau cecair itu boleh kekal beberapa hari dan mengundang rasa kurang selesa.

Namun, di sebalik karakter unik itu tidak menghalang Mohd Hamizan Nawai, 45, peminat haiwan eksotik dari Kampar, Perak memelihara mamalia dari jenis nokturnal iaitu merujuk kepada tabiat skunk yang aktif pada malam hari dan tidur pada siangnya.

Kata Mohd Hamizan yang juga lebih dikenali dengan Mije dalam kalangan peminat haiwan haiwan eksotik, skunk untuk tujuan pelihara sudah dibuang kelenjar 'kentut' nya.

"Setiap kali saya bawa skunk peliharaan yang saya namakan Endut ke pameran atau bawa keluar berjalan-jalan, ramai yang bimbang dengan bau busuk.

"Untuk pengetahuan orang ramai, perbezaan untuk skunk peliharaan dengan spesies liar adalah kelenjar itu dibuang membolehkan orang pelihara dan simpan.

"Andai skunk peliharaan cuba merembeskan cecair itu, ia tidak mengeluarkan cecair berbau busuk lagi kerana kelenjar menghasilkannya sudah dibuang.

"Cuma bau hamis semula jadi tetap ada dan ia hanya boleh dikurangkan dengan kerap mandi selain menjaga kebersihan sangkarnya," katanya.

Tambah Mohd Hamizan lagi, elak membuat skunk peliharaan 'stress' juga mengurangkan kemungkinan haiwan itu mengeluarkan bau busuk.

"Walaupun skunk peliharaan tidak merembeskan cecair busuk lagi menerusi dua kelenjar pada pangkal ekornya, tetapi haiwan itu masih boleh berbuat demikian dengan kaedah lain.

"Pengalaman saya sejak pelihara skunk ini sejak Julai 2022 ketika berumur tiga bulan dan sekarang tujuh bulan, pantang dalam pelihara Endut (nama skunk) adalah tidak boleh mandikan dengan air panas atau suam.

"Kalau tidak Endut masih boleh mengeluarkan bau busuk menerusi cecair dirembeskan di bahagian lehernya. Jadi, saya mandikan Endut dengan air sejuk.

"Begitu juga kalau bawa keluar atau ke pameran haiwan, saya pastikan Endut selesa dan tidak terperap dalam tempat yang panas," katanya.

Tambahnya lagi, skunk peliharaan itu antara haiwan paling disayangi kerana mesra dan sangat manja.

"Satu perkara penting dalam pelihara haiwan eksotik termasuk skunk adalah membina hubungan rapat dengan haiwan berkenaan.

"Cara saya ialah selalu bercakap dan memanggil nama dia kuat-kuat, 'Endut, Endut' dan saya akan tengok reaksinya. Kalau dia datang, saya akan cium dan peluk.

"Pantang larang bela skunk ialah jangan buat dia terkejut kerana sikap semula jadi dia mudah terancam dan sangat 'defensive'. Kemungkinan besar dia akan gigit.

"Dulu ia mudah terkejut tapi sekarang suka dipeluk dan digomol. Saya ambil masa seminggu untuk membiasakan diri dengannya," katanya.

Diet skunk juga tidaklah sukar kerana makanannya seperti kucing iaitu protein adalah sumber utama.

"Pelihara skunk juga mudah. Saya berikan daging kisar, ulat, dan makanan anjing.

"Skunk saya paling suka makanan anjing terutama jenama Royal Canin sebab itu gemuk 'gedempol'.

"Apa yang pasti, memelihara skunk tidak perlukan sebarang permit atau lesen dan saya beli daripada kenalan yang sememangnya peniaga haiwan berlesen," katanya.

Kekangan bagi peminat haiwan ini, kata Mohd Hamizan adalah harga yang mahal untuk membawa masuk haiwan terbabit.

"Tidak ramai memelihara atas faktor harganya tinggi. Jika usianya tiga bulan, harga haiwan mencecah RM5,000 hingga RM6,000, tentu sahaja harga skunk dewasa lebih tinggi.

"Malah, tiada lagi yang membiak baka skunk dalam negara dan untuk Perak, rasanya saya antara yang pertama pelihara skunk," katanya.

Selain Mohd Hamizan, skunk peliharaan itu juga jinak terhadap pasangan, Ruhaifilia Abd Rani,33.

Disiarkan pada: December 7, 2022 @ 7:00am
d