ku-bela

Boleh jadi haiwan kayangan

Oleh Hafiz Ithnin

SEORANG peminat merbah jambul tempatan, Amaluddin Yusuf, 22, memiliki burung berkenaan bertujuan menjadi penjual untuk pasaran tempatan.

Dia mengimport burung itu dari Thailand dengan seekor dianggarkan berharga antara RM40 hingga RM50 seekor. Namun, ia bergantung kepada kualiti merbah jambul yang sendiri.

"Merbah jambul ini sebenarnya mempunyai gred tertentu di pasaran kerana ia dinilai dari segi keunikan bentuk dan juga kemampuan kicauan. Jika lebih unik dan kerap berkicau, harganya akan menjadi lebih tinggi.

"Di pasaran tempatan, harga yang dijual semula kepada pembeli ialah bermula RM80 seekor. Namun, bagi merbah jambul yang sentiasa memberikan prestasi baik di dalam pertandingan, ia mampu dijual pada harga ribuan ringgit seekor," katanya.

Tambahnya, merbah jambul ini mempunyai peminat tersendiri dan ia sentiasa dijaga seperti anak sendiri terutama bagi mereka yang aktif menyertai pertandingan burung.

"Dari segi sangkarnya kita perlu memastikan ia dalam keadaan bersih kerana jika kotor boleh menyebabkan burung ini mudah sakit. Jika sakit ia akan memberi kesan kepada kekerapan untuk ia berkicau.

"Selain itu, pemakanan juga amat penting dengan memberi makanan yang sesuai dengannya iaitu palet khas untuk burung yang diperbuat daripada buah-buahan," katanya.

Bercerita mengenai diet haiwan itu, katanya, merbah jambul juga diberikan buah-buahan segar seperti pisang, betik dan timun. Malah, unggas berkenaan juga diberikan suplemen (Wls RsOil) supaya lebih sihat.

"Burung ini juga memerlukan cahaya matahari yang mencukupi untuk menjamin kesihatannya. Jadi pada sebelah pagi, pemilik pasti membiarkannya terkena cahaya itu dalam 15 hingga 20 minit.

"Untuk menjamin kesihatan merbah jambul yang dibela juga, ia biasanya dimandikan sehari sekali dengan hanya menyembur air supaya burung ini sentiasa dalam keadaan bersih," katanya.

Bagi Amaluddin, membela burung merbah jambul memberi kepuasan tersendiri terutama apabila ia kelihatan sihat dan mampu berkicau dengan aktif. Selain itu, ia juga boleh menjadi terapi pada sebelah siang.

"Burung merbah jambul ini aktif pada sebelah siang. Jadi apabila kita penat balik kerja, melihat gelagatnya secara tidak memberikan ketenangan," katanya.

Disiarkan pada: May 31, 2023 @ 6:30am
d