mutakhir

Tolong baiki jalan berlubang... [METROTV]

Oleh Nurul Amanina Suhaini

PENDUDUK setempat yang sering menggunakan Lebuhraya Pasir Gudang seakan sudah lali dengan keadaan jalan rosak dan berlubang yang berulang kali diperbaiki mahupun hanya ditampal permukaannya.

Tinjauan NSTP di sepanjang laluan Masai Utama, Lebuhraya Pasir Gudang, dekat sini, mendapati keadaan jalan raya yang bukan sahaja tidak rata dan bertampal, malah terdapat kesan berlubang di tengah jalan pastinya sukar dilihat daripada jarak jauh.

Laluan yang bermasalah di sepanjang kira-kira enam kilometer dari lebuh raya kawasan Seri Alam menghala ke Pasir Gudang itu, didapati ada sahaja motosikal hampir terlanggar lubang berkenaan, ditambah lagi dengan cuaca hujan lebat sepanjang minggu terutama pada waktu petang menyebabkan air bertakung di jalan.

Kakitangan kerajaan, Norizan Othman, 46, berkata, terdapat lampu jalan di sepanjang laluan berkenaan, namun pengguna terutama penunggang motosikal akan menghadapi kesukaran terutama pada waktu malam dan keadaan cuaca hujan lebat.

Norizan yang menetap di Taman Air Biru, Pasir Gudang, berkata, kawasan itu adalah laluan utama kenderaan berat menghala ke bandaraya, selain waktu pagi dan petang adalah waktu kemuncak.

"Setiap kali hujan lebat walaupun sekejap, mesti ada kenderaan yang terlanggar atau hampir terperosok lubang di jalan itu, sangat membahayakan keselamatan orang ramai.

"Waktu kemuncak kenderaan kerap lalu adalah pada 8 pagi, 1 tengah hari dan petang waktu semua orang dari Johor Bahru pulang dari pekerjaan," katanya.

Bagi kakitangan kerajaan, Mohd Sabri Ismail, 32, pihak pemantau diharap lebih agresif mengenal pasti jalan rosak, selain mencari alternatif dalam menyelesaikan aduan orang ramai mengenai masalah berkenaan.

Mohd Sabri yang menetap di Pontian berkata, dengan adanya tindakan segera, ia bukan sahaja dapat menyelamatkan nyawa pengguna jalan raya, malah keselamatan orang ramai juga terjamin.

"Hanya pihak berwajib sahaja tahu keadaan jalan raya itu, berapa lama ia tahan, kenderaan jenis apa yang lalu kawasan itu, jalan mana yang rosak dan segera ambil tindakan apabila menerima aduan," katanya.

Disiarkan pada: May 20, 2018 @ 12:44pm
d