mutakhir

Tunku Azizah Aminah Maimunah dimasyhurkan Tengku Ampuan Pahang

Oleh Amin Ridzuan Ishak; Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz dan Siti Insyirah Tajuddin

TUNKU Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dimasyhurkan sebagai Tengku Ampuan Pahang pada istiadat di Istana Abu Bakar, hari ini.

Tunku Azizah Aminah Mainunah adalah Tengku Ampuan Pahang kelima dalam kesultanan Pahang era moden.

Turut dimasyhurkan Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah sebagai Tengku Mahkota Pahang dan seterusnya dilantik Pemangku Raja Pahang.

Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, 24, adalah putera sulung kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Istiadat pemasyhuran bermula jam 11 pagi dengan keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah dengan diiringi Tunku Azizah serta anakanda baginda.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah kemudian bersemayam di atas singgahsana sebelum lagu Allah Selamatkan Sultan dimainkan dan sejurus selepas lagu itu dimainkan Timbalan Datuk Paduka Maharajalela menghadap memohon perkenan untuk memulakan istiadat pemasyhuran.

Turut berangkat ke istiadat itu ialah Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah; Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Fadh Mu’adzam Shah Sultan Ahmad Shah, kerabat bergelar, kerabat dan barisan pentadbiran negeri yang diketuai Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Tengku Abdul Rahman seterusnya membaca surat pengisytiharan pelantikan Tunku Azizah sebagai Tengku Ampuan Pahang berkuat kuasa 22 Januari dan selepas itu surat berkenaan dimasukkan ke dalam ‘scroll’ untuk dipersembahkan kepada Al-Sultan Abdullah.

Selesai istiadat pemasyhuran Tengku Ampuan Pahang, Tengku Abdul Rahman seterusnya membaca surat pengisytiharan Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah sebagai Tengku Mahkota Pahang berkuat kuasa 22 Januari lalu yang turut dipersembahkan kepada Al-Sultan Abdullah.

Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah kemudiannya membacakan ikrar taat setia selepas pemasyhurannya sebagai Tengku Mahkota Pahang.

Tengku Abdul Rahman kemudiannya membacakan surat pelantikan Tengku Mahkota Pahang itu sebagai Pemangku Raja Pahang berikutan pelantikan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 berkuat kuasa Khamis ini.

Pada istiadat itu, Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan pingat DK kepada Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Tunku Azizah adalah anakanda keempat Sultan Johor Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Ismail dan Almarhumah Enche’ Besar Hajah Kalsom Abdullah dan diputerikan pada 5 Ogos 1960 di Istana Bukit Stulang, Johor Bharu, Johor.

Baginda berkahwin dengan Al-Sultan Abdullah pada 6 Mac 1986 dan dikurniakan sembilan putera dan puteri.

Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah pula diputerakan pada 17 September 1995 di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan dan kini sedang mengikuti latihan ketenteraan di Royal Military Academy Sandhurst, United Kingdom.

Disiarkan pada: January 29, 2019 @ 2:41pm
d