mutakhir

Fatah kelas tersendiri [METROTV]

Oleh Idris Musa

“FATAH boleh dianggap tokoh. Legend dalam kelas tersendiri. Beliau adalah sejarah komik dan kartunis Malaysia,” demikian kata Sabri Said, penulis buku biografi Fatah: Kartunis Akar Terengganu.

Menurutnya, Fatah atau nama sebenarnya Abdul Fatah Ngah yang menghidapi sakit saraf sejak lebih 40 tahun lalu, sangat berbakat dalam dunia kartun, pelukis dan pemuzik.

“Perhatikan lukisan beliau, tiada seorang pun boleh tiru. Kesakitan dihadapi beliau menjadi ciri istimewa untuk beliau melukis,” katanya sambil menunjukkan gaya Fatah melakarkan lukisan.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Tokoh Kartunis Rumah Kartun dan Komik Malaysia (RKKM) serta Pelancaran Buku Biografi Fatah dan Nostalgia Dandindon di sini, semalam.

Fatah, 65, yang berkerusi roda dan kini tidak dapat bertutur dengan baik kerana penyakit dihidapi hadir ke majlis itu. Beliau turut menerima sumbangan daripada Pengasas RKKM Mohd Desa Omar.

Mengulas lanjut, Sabri yang juga bekas Pengarang Gila-Gila berkata, Fatah adalah generasi pertama majalah Gila-Gila dan beliau antara yang melukis pada zaman kenaikan kartun 1970-an.

“Apabila adanya Gila-Gila yang pada 1978 sambutannya ketika itu amat menakjubkan dalam sejarah penerbitan majalah. Ia adalah era permulaan di mana sebuah majalah diulang cetak.

“Cetakan pertama habis, dalam masa seminggu lepas itu terpaksa cetak balik,” katanya.

Beliau berkata, ramai orang boleh melukis, namun bukan semua boleh melahirkan humor dalam kartun, sekali gus membuatkan khalayak tersenyum dan ketawa, kerana ia daripada bakat.

“Humor beliau bukan dipaksa-paksa untuk ketawa. Jenaka beliau bersahaja. Anda akan tersenyum, oh ini ada kena-mengena dengan diri aku.

“Kartun beliau adalah satu dokumentasi sejarah mengenai kehidupan. Ia tak sama dengan yang lain, baik segi karakter atau penzahiran dan pemikiran. Karakter kartun beliau ada roh,” katanya.

Sabri juga berkongsi sedikit kisah Fatah ketika mula dulu selepas habis persekolahan peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), membuat lukisan dan menjualnya di stesen bas Dungun, Terengganu, namun tidak laku.

“Waktu itu orang tidak hargai dan lukisannya tidak laku, melainkan dibeli oleh kawan-kawan,” katanya.

Menurutnya, selepas itu, Fatah datang ke Kuala Lumpur dan mendapat pendedahan mengenai komik, seterusnya kartun sebelum namanya menjadi popular.

Disiarkan pada: April 14, 2019 @ 6:10am
d