mutakhir

Bomoh batu delima temberang [METROTV]

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

PERKENALAN dengan bomoh untuk berubat bertukar menjadi detik malang buat pasangan suami isteri apabila kerugian RM10,000.

Dalam kejadian 25 Mei lalu di daerah ini, mangsa berusia 43 tahun bersama isterinya berusia 40 tahun dikatakan bertemu bomoh warga Indonesia untuk menjalani perubatan tradisional sebelum suspek berusia 46 tahun menunjukkan tin biskut mengandungi wang kertas kertas RM100 yang dihasilkan melalui batu delima.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, suspek memaklumkan mangsa terdapat satu batu delima mampu menghasilkan wang dan mangsa perlu membayar RM10,000 untuk mendapatkan batu delima ini.

“Sebaik pembayaran dibuat, suspek memberikan mangsa batu delima bersama empat tin biskut yang mana tin biskut hanya boleh dibuka selepas enam hari.

“Apabila sudah enam hari, mangsa membuka semua tin biskut dan mendapati ia mengandungi sampah.

“Mangsa berasa ditipu dan diperdaya bomoh itu sebelum membuat laporan polis,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, hari ini.

Kama Azural berkata, bertindak hasil maklumat diberikan mangsa, polis kemudian menyerbu rumah sewa suspek di Jalan Kemaman dan berjaya menahan lelaki terbabit.

Katanya, siasatan awal mendapati, suspek menetap lebih masa di negara ini dan dipercayai menjalankan kegiatan penipuan sejak tiga bulan lalu menggunakan batu delima.

“Dalam serbuan itu, kita turut merampas senapang buatan sendiri, empat batu permata merah, loket permata merah, batu permata jingga, dua batu permata kuning, satu kotak mengandungi pelbagai batu permata, satu bekas mengandungi gelak dan cincin emas.

“Selain itu, kita turut merampas 26 keping wang kertas RM100 dan 64 keping wang RM50 serta tujuh televisyen pelbagai jenama,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek bergerak bersendirian dan kini direman selama 14 hari hingga 28 Jun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak percaya dengan aktiviti penipuan bomoh dan menyerahkan wang atau harta mereka kepada individu tidak dikenali.

Disiarkan pada: June 20, 2019 @ 6:05pm
d