mutakhir

Azmin ketuai jawatankuasa khas bekalan makanan

Oleh Amir Abd Hamid

MENTERI Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengetuai jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi memastikan bekalan makanan mencukupi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain MITI, jawatankuasa berkenaan turut membabitkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Beliau berkata, jawatankuasa itu membincangkan pelbagai aspek antaranya rantaian makanan dan penghantaran bahan mentah kepada pengguna.

“Jawatankuasa ini bukan sahaja berbincang dari segi bekalan makanan tetapi rantaian makanan, misalnya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan pastikan ikan, sayur dan sebagainya boleh diperoleh.

“Malah mereka juga akan pastikan logistik iaitu bahan makanan dikeluarkan boleh dihantar. Jawatankuasa ini akan pastikan konsep dari ladang kepada pengguna ini berterusan dan tidak terganggu,” katanya.

Ismail yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-menteri Kanan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang menyiasat 85 kes penyebaran berita palsu dengan enam daripadanya dituduh di mahkamah.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak menyebarkan berita palsu untuk mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang.

Ditanya adakah akan ada tindakan ‘lock down’ untuk kawasan zon merah dan berisiko tinggi penularan Covid-19, katanya, satu prosedur operasi standard (SOP) dirancang untuk kawalan kawasan berkenaan.

Beliau turut ditanya mengenai persoalan segelintir masyarakat mengapa kerajaan tidak menggunakan rizab atau simpanan negara bagi membantu rakyat berbanding rakyat diberikan kemudahan mengeluarkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk ringankan beban waktu sukar ketika ini.

“Kita (kerajaan) akan ada pengumuman mengenai pakej rangsangan ekonomi yang akan dibincangkan secara terperinci sewaktu mesyuarat khas kabinet. Mungkin selepas itu akan ada pengumuman (bantuan) oleh Perdana Menteri,” katanya.

PKP dikuatkuasakan mulai 18 Mac hingga 31 Mac ini bagi membendung penularan wabak Covid-19 di negara ini yang sehingga hari ini sudah mengorbankan 15 orang selain 1,518 positif virus itu setakat semalam.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19

    h

  • Disiarkan pada: March 24, 2020 @ 5:32pm
    d