mutakhir

SRC: Keputusan kes Najib 28 Julai ini

Oleh BERNAMA

KEPUTUSAN sama ada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan disabitkan atau dilepaskan daripada tujuh pertuduhan menyelewengkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd akan diketahui pada 28 Julai.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan dikemukakan pihak pendakwaan dan pembelaan pada akhir kes pembelaan selama lima hari sejak Isnin.

Beliau berkata, kedua-dua pihak telah mengemukakan hujahan bertulis yang panjang lebar dan terperinci, berjumlah 2,000 muka surat, untuk membantu mahkamah dalam memastikan dan menilai, serta menentukan, sama ada pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melangkaui keraguan munasabah.

"Saya mahu menyampaikan keputusan muktamad saya terhadap tujuh pertuduhan itu pada bulan depan, pada 28 Julai, 10 pagi," katanya.

Pendakwa Raya yang dilantik Datuk V Sithambaram mengetuai pasukan pendakwaan, manakala peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan peguam bela Najib, 67.

Najib, yang menjadi perdana menteri keenam dari 2009 hingga 2018, ialah ketua negara Malaysia yang pertama dihadapkan ke mahkamah.

Perbicaraan bermula 3 April tahun lepas, dengan pihak pendakwaan memanggil 57 saksi untuk memberi keterangan.

Dalam perbicaraan itu, pihak pendakwaan mengemukakan lebih 750 eksibit atau barang kes termasuk dokumen bank berkaitan akaun bank Najib, dokumen transaksi tunai, minit mesyuarat dan perbualan di Blackberry Messenger berhubung transaksi akaun Najib.

Saksi berkenaan termasuk Pengurus Cawangan AmBank Jalan Raja Chulan R. Uma Devi, 40; bekas CEO Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) Azian Mohd Noh, 66; Tan Sri Ismee Ismail, 54, bekas anggota lembaga pengarah SRC; dan pengarah bukan eksekutif SRC Datuk Suboh Md Yassin, 68.

Lainnya bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, 67; bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu Ging Ping, 48; bekas Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, 67; dan pegawai penyiasat Rosli Husain, 54.

Disiarkan pada: June 5, 2020 @ 4:27pm
d