mutakhir

Cuci duit: Bayar pihak berkuasa supaya 'kebal'

Oleh Skuad Khas Harian Metro

Kuala Lumpur: Pendapatan bulanan sindiket 'cuci duit' yang dikaitkan dengan perniagaan golongan artis mencecah RM100 juta setiap bulan.

Difahamkan, sindiket penipuan antarabangsa didalangi oleh warga China yang mengupah Addy Kanna dan seorang lelaki dikenali sebagai Goh Leong Yeong @ Alvin sebagai ejen itu memberikan 20 peratus daripada jumlah pendapatan terbabit kepada pihak berkuasa bagi 'melindungi' kegiatan mereka.

Sumber berkata, bayaran secara bulanan yang diberikan kepada pihak berkuasa itu menjadikan kumpulan berkenaan 'kebal' dan bebas menjalankan kegiatan haram mereka.

"Jika ada anggota atau pegawai yang enggan menerima wang diberikan atau tidak taat akan dipindahkan ke tempat lain.

"Alvin menggunakan hubungan baik dengan pegawai lain untuk berbuat demikian. Ini bagi memastikan kegiatan perjudian, dadah dan Macau Scam dilakukan tidak terganggu," katanya.

Kata sumber lagi, lima individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis sebelum ini adalah ahli kumpulan berkenaan.

Katanya, kumpulan itu juga dikatakan melabur wang kepada pengarah filem untuk menggunakan artis tempatan sebagai alat mencuci duit.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, tangkapan ke atas Addy Kanna dan Alvin yang melarikan diri dari Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, 11 Oktober lalu tidak terbabit dalam kegiatan penipuan atau Macau Scam di negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dilaporkan berkata, sebaliknya kedua-dua mereka adalah koordinator atau ejen untuk menyediakan kemudahan kediaman, pusat panggilan dilengkapi peralatan komputer dan telekomunikasi serta kemudahan internet kepada warga China yang diupah oleh sindiket penipuan antarabangsa itu.

Beliau dipetik berkata, pusat panggilan yang beroperasi dari unit kediaman mewah dan pejabat itu akan menjalankan operasi harian dengan mensasarkan rakyat di negara China sebagai mangsa aktiviti perjudian, penipuan pelaburan mata wang asing (Forex) dan penipuan pembelian barang, terbabit kes, tuntutan barang seperti Scam.

Susulan pembongkaran itu, polis turut menyerbu 12 pusat panggilan sejak Sabtu lalu.

Serbuan dijalankan di sekitar Lembah Klang itu turut menahan 138 individu membabitkan 95 warga China serta 43 warga tempatan.

Disiarkan pada: October 22, 2020 @ 3:48pm
d