mutakhir

Ford Ranger hanyut redah banjir [METROTV]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Chukai: Padah meredah banjir di laluan yang sudah ditutup menyebabkan sebuah pacuan empat roda Ford Ranger dihanyutkan arus di bawah jambatan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di Chukai di sini, jam 10.30 pagi tadi.

Kejadian berlaku ketika tiga sekeluarga yang menaiki Ford Ranger itu dalam perjalanan dari Kuantan, Pahang menghala ke Mak Lagam di sini.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, jalan itu sudah ditutup kepada semua jenis kenderaan susulan banjir yang melanda daerah ini sejak Ahad lalu.

"Ford Ranger terbabit hanyut namun kesemua penumpang dapat keluar daripada kenderaan itu.

"Kami mengambil masa kira-kira 15 minit untuk menyelamatkan tiga mangsa iaitu dua lelaki dan seorang wanita berusia 20 hingga 40 tahun yang berada di atas bumbung Ford Ranger itu.

"Kami turut bersama anggota bomba mengeluarkan Ford Ranger terbabit yang tenggelam," katanya.

Hanyan turut mengingatkan orang ramai supaya mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelak kejadian sama daripada berulang.

"Laluan ditutup demi keselamatan dan jangan ambil risiko meredah banjir," katanya.

Disiarkan pada: January 9, 2021 @ 5:16pm
d