mutakhir

KeTSA akan bantu keluarga Zulkifli Abd Latif

Oleh Mohd Rashidi Yusuf

Lenggong: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) akan membantu keluarga wartawan sambilan New Straits Times (NST), Zulkifli Abd Latif yang meninggal dunia ketika mengikuti program Eksplorasi Eko-pelancongan di Pulau Banding, Gerik Khamis lalu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, Allahyarham Zulkifli meninggal dunia ketika mengikuti program anjuran KeTSA oleh itu menjadi tanggungjawab kementeriannya untuk menyalurkan membantu yang difikirkan sesuai kepada keluarga arwah.

"Kita akan melihat bagaimana caranya untuk membantu keluarga Allahyarham," katanya kepada pemberita selepas Program Penghijauan Malaysia Peringkat Negeri Perak di Dataran Tasik Raban dekat sini, hari ini.

Program dirasmikan Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Ridza Awang.

Shamsul Anuar berkata, kelmarin kementeriannya membantu menguruskan pengebumian Allahyarham Zulkifli dan bantuan lain kepada keluarga wartawan berkenaan akan diusahakan mengikut kewajarannya.

Khamis lalu, Zulkifli, 41, yang berasal dari Johor itu meninggal dunia kerana sesak nafas ketika mendaki di hutan Mata Kail, Pulau Banding, Tasik Temenggor, Gerik.

Kejadian itu berlaku pada hari ketiga dan terakhir Program Eksplorasi Eko-pelancongan KeTSA Bersama Media di Pulau Banding.

Disiarkan pada: April 10, 2021 @ 2:51pm
d