mutakhir

Ilham Haji Mat Kaya

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: Masjid Hiliran atau dikenali sebagai Masjid Haji Mat Kaya antara masjid tertua di Terengganu.

Ia terletak di Kampung Hiliran iaitu kita-kira tiga kilometer (km) dari bandar Kuala Terengganu.

Masjid terletak di tepi jalan itu dianggarkan berusia 147 tahun dan dibina pada 1874.

Difahamkan, masjid ini dibangunkan semula oleh hartawan tempatan, Muhammad Abdul Rahman atau lebih mesra dipanggil Haji Mat Kaya pada 1925 di atas tanah seluas 0.6 hektar ketika pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (1920- 1942).

Timbalan Pengerusi Masjid Hiliran, Rashid Awang berkata, Masjid Hiliran menjalani proses pembaharuan semula kerana terlalu usang dan kos pembaharuan masjid itu ditanggung sepenuhnya oleh Haji Mat Kaya.

"Uniknya masjid itu kerana atapnya berbeza dengan reka bentuk utama masjid di rantau Nusantara yang berunsur potong bawah (kubah), sebaliknya ia berasaskan bentuk bumbung limas potong perak yang juga seni bina Melayu terkenal.

"Haji Mat Kaya ialah pengasas kepada wajah baharu Masjid Hiliran dan bagi mengimarahkan masjid itu, beliau menjemput beberapa ulama dari dalam dan luar negara untuk mengajar agama di masjid berkenaan.

"Pada awal pembinaan masjid itu, Haji Mat Kaya dan ahli keluarganya sendiri yang mentadbirnya termasuk melantik imam dan bilal terbaik.

"Pada akhir 1930, pengurusan masjid juga mengadakan kelas agama dan Bahasa Arab di ruang khas masjid yang dinamakan Balai Lintang," katanya.

Rashid berkata, pada 1942 Haji Mat Kaya meninggal dunia dan anaknya yang dipanggil Haji Su menggantikan tempatnya sebagai pentadbir Masjid Hiliran.

"Selepas kematian Haji Su pada 1952, pentadbiran masjid diletakkan di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT).

"Dikatakan, sejarah awal Sekolah Menengah Agama Khairiah juga bermula di Masjid Hiliran pada 8 September 1942. Proses pembelajaran dan pengajaran dijalankan di beranda Masjid Hiliran oleh Ustaz Haji Ahmad Fuad dan Ustaz Ahmad Zaki Salleh Al-Masri.

"Bagaimanapun, Madrasah Al- Khairiah itu kemudian dipindahkan ke dua rumah berhampiran kawasan Masjid Hiliran. Pada awal 1953, madrasah itu dikenali sebagai Sekolah Menengah Agama Khairiah dan dikhaskan kepada pelajar perempuan sahaja sehingga kini," katanya.

Katanya, Masjid Hiliran mempunyai beberapa keunikan. Antaranya kewujudan sebuah perigi yang dikenali sebagai Telaga Mandi Gajah Putih yang dipercayai dibina semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III (1881-1918).

"Menurut penduduk setempat, Telaga Mandi Gajah Putih itu dibina menggunakan putih telur, madu lebah, pasir, kapur tohor dan batu bata.

"Pembinaan telaga ini dikatakan untuk memandikan gajah putih kepunyaan Sultan Zainal Abidin III yang dihadiahkan oleh Raja Siam, Raja Chulalongkorn sebagai tanda persahabatan sempena lawatan baginda dan pembesar negeri ke Siam.

"Telaga bersejarah itu kini dikelilingi benteng konkrit dan diletakkan sebuah tempayan yang digunakan sebagai tempat gajah menyedut air untuk dijirus ke badannya. Kini, telaga itu sudah ditutup dan tidak digunakan lagi namun ia kekal di dalam masjid sehingga sekarang," katanya.

Menurutnya, Masjid Hiliran mempunyai dua dewan solat bertingkat serta mampu memuatkan 1,800 jemaah pada satu-satu masa.

Masjid Hiliran juga diwartakan sebagai Tapak Warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 654) yang ditandatangani oleh Pesuruhjaya Warisan, Jabatan Warisan Negara, Datuk Prof Emeritus Zuraina Majid pada 2008 sebelum mendapat pengiktirafan sama oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia melalui Menteri Pelancongan dan Kebudayaan (ketika itu), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pada 2015," katanya.

Disiarkan pada: May 8, 2021 @ 9:02am
d