mutakhir

Peningkatan prestasi SPM pelajar luar bandar menakjubkan

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: "Pencapaian cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang terbaik dalam tempoh lima tahun kebelakangan dengan peningkatan prestasi pelajar luar bandar amat menakjubkan."

Itu reaksi Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan mengulas prestasi SPM 2020, diumumkan hari ini.

Beliau berkata, keputusan itu tentunya hasil kerja gigih Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pihak guru, ibu bapa penjaga dan pelajar.

Katanya, adalah membanggakan pencapaian cemerlang dapat dihasilkan dalam masa pandemik Covid-19 yang banyak kekangan.

"Semua pihak beri perhatian dan tumpuan lebih kepada pendidikan, walaupun masih ada halangan capaian Internet dan kekurangan gajet yang diperlukan.

"Kita dapat saksikan kegigihan pendidik membimbing pelbagai cara seperti dalam talian, Didik TV, bersemuka serta modular pakej diedarkan kepada pelajar.

"Persefahaman dan kerjasama erat ibubapa penjaga menyediakan persekitaran serta bahan keperluan termasuk peranti dengan mengeluarkan wang ringgit untuk anak mereka adalah sangat membantu," katanya.

Di pihak pelajar pula, katanya, mereka memahami keperluan dan kepentingan pendidikan walaupun halangan luar biasa seperti terpaksa sentiasa siapsaga jaga kesihatan kendiri dengan kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) setiap masa.

Terdahulu hari ini, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan pencapaian SPM 2020 dengan Gred Purata Nasional (GPN) 4.80, adalah yang terbaik dalam tempoh lima tahun.

Disiarkan pada: June 10, 2021 @ 4:08pm
d