mutakhir

Satu tan durian berterabur di lebuh raya

Oleh Mohd Amin Jalil

Nilai: Kira-kira satu tan durian bertaburan di lebuh raya apabila lori membawa 'raja buah' itu terbalik di Kilometer 279.9 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah utara dekat sini, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, kejadian berlaku pada jam 1.55 tengah hari apabila lori membawa muatan durian itu terbabas dan terbalik.

Katanya, kejadian berlaku lebih kurang tujuh kilometer dari kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban.

"Kemalangan berlaku apabila sebuah lori muatan durian dipandu lelaki berumur 25 tahun dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Segamat hilang kawalan dipercayai tayar belakang sebelah kiri pecah.

"Lori berkenaan terbabas dan terbalik di lorong kiri. Pemandu lori dan kelindan masing-masing berumur 25 dan 52 tahun mengalami kecederaan ringan.

"Muatan durian yang dibawa bertaburan di lebuh raya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, kes disiasat oleh Unit Siasatan Lebuhraya Bukit Aman dan dibuka di bawah Rule 10 LN 166/59.

Disiarkan pada: June 23, 2021 @ 6:10pm
d