mutakhir

Adun Tras, 18 pekebun durian ditahan

Oleh T N Alagesh

Kuantan: Lapan belas individu yang dipercayai pekebun durian ditahan kerana menceroboh Hutan Simpan Kekal Batu Talam di Raub semalam.

Kesemua mereka itu juga terbabit dalam memprovokasi pasukan penguat kuasa Jabatan Perhutanan Pahang yang menjalankan operasi di kawasan itu dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Raub pada 4 petang untuk tindakan lanjut.

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dalam satu kenyataan berkata, mereka didapati memasuki hutan simpan kekal itu tanpa izin dan kelihatan sangat provokatif terhadap kakitangan jabatan itu yang menjalankan operasi penguatkuasaan untuk membersihkan ladang haram.

"Sepanjang operasi, kakitangan jabatan mengalami kesulitan kerana tindakan pekebun terbabit yang melakukan provokasi. Mereka itu cuba menghalang kenderaan jabatan memasuki dan meninggalkan lokasi operasi.

"Jabatan Perhutanan kemudiannya membuat laporan polis dan memberikan rakaman video untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Jabatan itu mengadakan operasi membersihkan ladang durian haram di hutan simpan kekal terbabit bersama dengan agensi kerajaan dan polis di kawasan seluas 101 hektar.

"Operasi ini dilakukan untuk memusnahkan pokok durian yang ditanam secara haram dan menahan individu atau pekebun yang memasuki hutan simpan kekal tanpa izin.

"Jabatan akan merampas semua kenderaan dan barang yang ditemukan dalam kawasan hutan simpan," kata kenyataan itu.

Sementara itu, Save Musang King Alliance (Samka) dalam satu kenyataan mengatakan 18 pekebun termasuk presidennya Wilson Chang ditahan untuk siasatan semalam.

Kenyataan itu turut mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tras Chow Yu Hui yang ke balai polis turut ditahan di pada 10 malam tadi sebelum dia dibebaskan dengan jaminan polis.

Semalam, Pengarah Jabatan Perhutanan Pahang Datuk Dr Mohd Hizamri Yasin mengesahkan empat individu termasuk dua warga asing ditahan pada hari kelmarin kerana menceroboh kawasan hutan simpan kekal terbabit.

Operasi penguatkuasaan di Hutan Simpan Kekal Batu Talam yang bermula pada kelmarin itu dijadualkan berakhir awal bulan depan.

Berita berkaitan

Operasi musnah kebun Musang King bermula

Disiarkan pada: July 5, 2021 @ 12:45pm