mutakhir

Rakyat kena tolong kurangkan beban sektor kesihatan negara

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Masyarakat boleh membantu mengurangkan beban sektor kesihatan negara termasuk, menangani kesesakan di wad dan Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital dengan mengambil langkah proaktif bagi pencegahan Covid-19.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Kesihatan Keluarga) Jabatan Kesihatan Masyarakat Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Rosnah Sutan berkata, tanggungjawab yang boleh dimainkan masyarakat ialah dengan menjaga diri mereka dan membuat saringan kesihatan lebih awal.

Katanya, saringan itu penting terutama bagi penduduk Lembah Klang di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang perlu keluar bekerja.

Menurutnya, ketika ini ICU boleh sesak disebabkan pesakit Covid-19 tahap tiga ke atas yang memerlukan bantuan dan pemantauan rapi, justeru ujian saringan yang dibuat lebih awal boleh mengelak masyarakat daripada terlewat menerima rawatan Covid-19.

"Masyarakat perlu memainkan peranan ini, mengelak mereka daripada dijangkiti wabak dengan membuat pencegahan lebih awal.

"Jika perlu bekerja, mereka perlu pastikan benar-benar bebas daripada Covid-19 dengan menjalankan ujian saringan.

"Ini dapat membantu sistem kesihatan daripada terus tenat dengan menerima lebih ramai pesakit yang memerlukan rawatan ICU," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Dr Rosnah berkata, tanggungjawab menjamin kestabilan sektor kesihatan juga tidak harus diletakkan sepenuhnya kepada kerajaan, sebaliknya masyarakat perlu bekerjasama untuk membantu meringankan beban dan tekanan sektor itu.

Tambahnya, jika langkah pencegahan awal dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa diamalkan, sudah pasti ia dapat membantu sistem kesihatan negara.

Kelmarin, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, masih ramai pesakit yang tidak dapat dimasukkan ke wad dan ICU kerana kekurangan katil.

Pesakit tahap tiga dan empat yang memerlukan bantuan pernafasan terpaksa dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Covid- 19 (PKRC) Maeps di Serdang.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 7, 2021 @ 3:13pm
    d