mutakhir

Lebih 1.2 juta dos vaksin akan tiba di Johor - TMJ

Oleh BERNAMA

Johor Bahru: Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini bertitah sebanyak 1.293 juta dos vaksin bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) akan tiba di Johor secara berperingkat bulan ini.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi baginda HRH Crown Prince of Johor, Tunku Ismail bertitah daripada angka itu, sejumlah 583,000 ialah vaksin jenis Pfizer-BioNTech, 637,000 vaksin Sinovac dan 73,000 vaksin AstraZeneca.

"Saya akan turut serta untuk penerimaan vaksin dan memastikan ia diberikan kepada semua Bangsa Johor dengan efisien dan tepat pada masanya. Saya juga sudah diberi penerangan oleh pihak berwajib mengenai jumlah pendaftaran dan cara pengedaran vaksin.

"Saya yakin ramai Bangsa Johor akan diberi vaksin dalam beberapa minggu ini menjelang kita ke arah mencapai tahap imunisasi kelompok. Saya juga ingin mengingatkan seluruh Bangsa Johor untuk mendaftar vaksin dan mendapatkan vaksinasi," titah baginda.

Tunku Ismail turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin serta pihak berkuasa berkaitan yang menjayakan usaha itu.

Info grafik yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Jabatan Kesihatan Negeri Johor menunjukkan sehingga 4 Julai, sebanyak 460,094 dos pertama sudah dan sejumlah 268,137 orang pula lengkap dua dos vaksinasi.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 10, 2021 @ 5:12pm
    d