mutakhir

Jangan pulang ke Kelantan, ambil iktibar kes Aidilfitri lalu

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim dan Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Jangan pulang ke Kelantan, sebaliknya ambil iktibar kejadian berlaku pada Aidilfitri pada Mei lalu apabila negeri itu mencatat lonjakan kes Covid-19 hingga memaksa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Peringatan oleh kerajaan negeri dan polis Kelantan itu dituju khas kepada rakyatnya yang tinggal merantau di negeri lain dan berhajat untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut Aidiladha, Selasa ini.

"Kita minta kerjasama semua perantau supaya tidak pulang ke kampung. Bukan tidak suka mereka pulang, sebaliknya mahu semua pihak mengambil iktibar selepas Aidilfitri lalu.

"Kluster terbaharu di Kelantan juga disebabkan pergerakan rentas negeri. Jadi saya mohon perantau sabar sekejap dan fikirkan keselamatan semua orang termasuk ibu bapa," kata Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Menurutnya, larangan itu juga selaras titah Sultan Kelantan Sultan Muhamamd V juga yang melarang rakyat melakukan rentas negeri untuk menyambut raya.

"Malah di kampung saya, ada kes bapa berusia 70 tahun meninggal dunia, manakala isterinya masih dirawat di hospital disebabkan anak pulang ke kampung.

"Berikutan itu, Kelantan mengenakan syarat mereka yang masuk ke negeri ini perlu mempunyai surat keputusan ujian calitan yang dilakukan dalam tempoh 72 jam," katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohamad Piah berkata, kesesakan berlaku di beberapa bandar yang mencecah 15 peratus berikutan penduduk yang keluar membeli barang keperluan untuk menyambut Aidiladha.

Katanya, pihaknya juga tidak menjangka akan berlaku peningkatan kemasukan kenderaan dari luar negeri menerusi tiga laluan utama di Pasir Puteh, Jeli dan Gua Musang.

"Sejak empat hari lalu sehingga kini, tiada peningkatan kenderaan di pintu masuk utama negeri, cuma kelmarin berlaku pertambahan sekitar lima peratus kenderaan dari Utara yang boleh dianggap sebagai kebetulan.

"Kemasukan kenderaan itu dengan kebenaran, sama ada daripada polis atau Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)," katanya yang memberitahu pihaknya mengetatkan kawalan bagi di sempadan negeri.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: July 18, 2021 @ 1:26pm
    d