mutakhir

Mangsa ribut terima bantuan [METROTV]

Oleh Nurul Amanina Suhaini

Kota Tinggi: Peruntukan antara RM4.5 hingga RM5 juta disediakan kerajaan negeri bagi membantu penduduk di Tanjung Sedili, dekat sini, yang terjejas akibat ribut, semalam.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, menerusi peruntukan itu, setiap keluarga akan menerima antara RM5,000 hingga RM15,000 bergantung kepada kerosakan harta benda termasuk kediaman.

"(Bantuan untuk) Sekolah, balai polis, klinik yang terjejas juga ada, tetapi kita belum ada angka lagi dan agensi berkaitan sedang membuat anggaran kerosakan untuk bangunan terbabit," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Setia Jaya, Tanjung Sedili, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Daerah Kota Tinggi, Hazlina Jalil.

Hasni berkata, pada peringkat awal, setiap keluarga akan menerima bantuan wang tunai RM1,000 dari kerajaan negeri, RM400 dari Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan bakul makanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Selain bantuan makanan, tempat sementara akan dikenal pasti bagi mereka yang memerlukannya kerana masa membaiki rumah mungkin mengambil masa lama memandangkan kita masih dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN)," katanya.

Semalam, kira-kira 140 kediaman membabitkan tujuh kampung mengalami kerosakan susulan kejadian ribut yang melanda di kawasan Tanjung Sedili, di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora dilaporkan berkata, bumbung sebuah rumah Perumahan Polis di Balai Polis Kuala Sedili turut terjejas dan mengalami kerosakan termasuk bumbung garaj kereta.

Bagaimanapun, laluan utama tidak terputus kerana proses penyelenggaraan jalan raya sudah dilakukan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kota Tinggi dengan mengalihkan atau memotong pokok tumbang.

Disiarkan pada: July 24, 2021 @ 1:22pm
d