mutakhir

Tak sampai 3 jam, 4 tan durian RM1 'licin' [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

Tumpat: Dalam tempoh tidak sampai tiga jam, semua empat tan durian yang dijual, licin dibeli pengunjung.

Apa tidaknya, dengan harga durian yang dilelong pada harga RM1 sekilogram, belum sempat gerai dibuka, pelanggan sudah beratur panjang di luar premis yang terletak di laluan utama Kampung Ketil, Pengkalan Kubor, di sini.

Perniagaan durian yang diusahakan oleh ibu tunggal, Tengku Nor Amira Tengku Razaman, 31, sejak April lalu mula dibanjiri pelanggan sejak minggu lalu apabila dia menjual raja buah itu dengan harga lelong serendah RM1 sehingga RM2 sekilogram.

Tengku Nor Amira berkata, bekalan durian diperoleh daripada Jeli yang akan dibelinya setiap hari dan buah itu akan dijual pada harga rendah bergantung kepada harga modal.

"Biasanya saya hanya akan mengambil harga untung sekitar 20 sen hingga RM1 sahaja untuk sekilogram durian yang dilelong itu bergantung kepada harga yang saya beli daripada pembekal.

"Sebagai contoh, pada hari-hari tertentu pembekal menjual kepada saya dengan harga 80 sen sekilogram, saya akan menjual pada harga RM1 sekilogram dan ada ketikanya RM1 (harga pembekal), saya akan jual RM1.30," katanya ketika ditemui di gerainya di sini, hari ini.

Tengku Nor Amira berkata, walaupun durian yang dijualnya dengan harga yang sangat murah, dia tetap memeriksa kualiti buah itu yang mana hanya meletakkan buah yang elok sahaja di gerai bagi mengelakkan pembeli kecewa.

Selain durian kampung, ibu kepada dua cahaya mata itu turut menjual durian jenis kunyit, cheni, IOI, kampung kahwin, D24 dan Udang Merah yang kesemuanya masih boleh diperoleh pada harga mampu milik.

Dia berkata, jika ingin mengadakan harga lelong dia akan mengumumkannya terlebih dahulu melalui laman Facebook dan keesokannya belum sempat gerai dibuka pada 8 pagi, orang ramai sudah membanjiri sekitar premis dan berbaris panjang.

"Apabila situasi itu berlaku, kami perlu menitikberatkan prosedur operasi standard (SOP) terutama penjarakan sosial dan ada juga kawalan dari pihak berkuasa bagi memastikan keadaan terkawal," katanya.

Dia yang sebelum ini bekerja di sebuah kolam udang di Puncak Jalil, Selangor terpaksa berhenti kerja disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum mengambil keputusan pulang ke kampung halaman dan membuka perniagaan itu yang turut dibantu ahli keluarga.

Dengan berbekalkan modal sebanyak RM2,700, dia memulakan perniagaan durian dan hasil yang diperoleh sangat lumayan malah kini keuntungannya makin menggalakkan sehingga mencecah RM4,000 hingga RM5,000 sehari walau durian dijual dengan harga sangat murah.

"Selepas habis musim durian ini, saya bercadang untuk mengusahakan gerai makan kerana ada sedikit asas dalam bidang itu manakala gerai buah ini masih akan tetap beroperasi untuk jualan buah lain pula," katanya.

Disiarkan pada: August 2, 2021 @ 12:53pm
d