mutakhir

Sumbangan skuad Tajhiz dihargai

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Skuad pengurusan jenazah Covid-19 (Tajhiz) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) terus berhadapan tugas mencabar susulan berlaku peningkatan bilangan jenazah pesakit Covid-19 setiap hari.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sebanyak 629 jenazah pesakit Covid-19 diuruskan skuad Tajhiz JHEAINS sejak Januari hingga 27 Julai lalu.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 327 orang atau 51.9 peratus jenazah diuruskan dari 1 hingga 27 Julai lalu iaitu dengan purata sekitar 10 jenazah setiap hari.

Katanya, tugas itu dilihat semakin mencabar selepas berlaku peningkatan bilangan jenazah pesakit Covid-19 kebelakangan ini.

"Pengurusan skuad Tajhiz ini dibantu kakitangan Hospital Tuanku Ja`afar (HTJ), Seremban dan petugas yang menguruskan tugas berkenaan dilengkapi pakaian perlindungan peribadi.

"Mereka akan menguruskan jenazah berkenaan bermula di bahagian forensik hospital sehingga proses kafan, sembahyang serta memasukkan jenazah ke dalam keranda dan kenderaan.

"Ketika proses pengebumian dilakukan, anggota Tajhiz yang lain pula akan ditugaskan memastikan liang kubur sudah disediakan dan sesuai dengan saiz jenazah serta menurunkan jenazah dan mengambus tanah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aminuddin berkata, mereka bertugas tidak mengira waktu dan hari demi tuntutan fardu kifayah dan kemaslahatan ummah.

"Terima kasih saya ucapkan kepada semua petugas skuad berkenaan dan kakitangan HTJ yang membantu menguruskan jenazah.

"Saya berdoa agar semua petugas barisan hadapan sentiasa dilindungi daripada bahaya sepanjang menjalankan tugas," katanya.

Mengulas mengenai program vaksinasi, Aminuddin berkata, bagi mewujudkan imuniti kelompok dengan segera dalam kalangan rakyat Negeri Sembilan, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam akan beroperasi tujuh hari seminggu.

Katanya, berlaku penambahan ketara bilangan penerima vaksin bermula awal bulan lalu selepas lebih banyak PPV awam dan swasta dibuka.

"Setakat ini, seramai 584,132 atau 71.7 peratus penduduk negeri ini sudah menerima suntikan dos pertama manakala seramai 287,229 atau 35.2 peratus sudah melengkapkan kedua-dua dos.

"Kerajaan negeri berharap Negeri Sembilan dapat mencapai imuniti kelompok secepat mungkin," katanya.

Beliau turut memaklumkan Majlis Keselamatan Negara bersetuju menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di empat lokaliti di daerah Rembau mulai malam kelmarin.

Katanya, sepanjang tempoh dua minggu berkenaan, sebanyak 1,249 saringan dijalankan dan 281 kes dikesan serta diambil tindakan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Rembau.

Disiarkan pada: August 2, 2021 @ 1:23pm
d