mutakhir

3 lagi individu beri keterangan

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Tiga lagi individu hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, 12.30 tengah hari ini bagi membantu siasatan berhubung penganjuran dan perhimpunan 'Keluar dan #Lawan' di Dataran Merdeka, Sabtu lalu.

Terdahulu, lapan individu datang bersama peguam masing-masing pada 9.30 pagi dan masuk ke perkarangan pada 10 pagi.

Polis menjangkakan 11 individu akan diambil keterangan pada hari ini bagi membantu siasatan berhubung penganjuran perhimpunan berkenaan.

Jurucakap Sekretariat Soladiriti Rakyat, Mohammad Asraf Sharafi berkata, pihaknya mula memberikan keterangan 10.30 pagi tadi dan proses merakam percakapan dibuat selama lebih dua jam.

"Pihak polis menyatakan siasatan dilakukan mengikut Akta 342 selepas dikatakan melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan dan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

"Pada kami ketika hari perhimpunan, kami sudah mematuhi segala SOP dengan menyediakan pelitup muka dua lapis, sarung tangan, penghadang muka (face shield)," katanya selepas selesai memberikan keterangan.

Katanya, peserta perhimpunan juga turut dipantau oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).

"Apa yang penting adalah menuntut supaya Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, meletakkan jawatan dengan segera.

"Kami akan terus mengadakan bantahan sehinggalah Muhyiddin melepaskan jawatannya sebagai aspirasi dari suara anak Muda," katanya.

Ketika ditanya sebarang perancangan perhimpunan dalam masa terdekat, pihaknya tidak menolak akan terus mengadakan himpunan 'Keluar dan #Lawan' namun tidak menyatakan masa dan tarikh.

Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti 29 individu yang akan dipanggil untuk melengkapkan siasatan berhubung penganjuran perhimpunan di ibu negara.

Berita berkaitan:

Disiarkan pada: August 2, 2021 @ 1:39pm
d