mutakhir

Nenek tekad jaga 3 cucu kehilangan ibu akibat kanser

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: "Tak sanggup hantar tiga cucu ini kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seperti yang diwasiatkan oleh arwah ibu mereka.

"Merekalah nyawa saya sekarang. Selagi masih bertenaga dan sihat, saya akan terus bekerja sebagai tukang cuci untuk menyara mereka memandangkan seorang lagi anak hanya bekerja sebagai nelayan," kata Zaleha Muhamed, 57.

Menurut Zaleha, anak perempuan sulungnya, Nur Fatimah Norhisham, 33, meninggal dunia pada 12 Jun lalu selepas menghidap kanser tiroid.

"Dia sanggup menyembunyikan penyakit yang dihadapinya kerana bimbangkan tiga anaknya selepas suaminya meninggalkannya.

"Saya hanya tahu ketika keadaan kesihatannya bertambah teruk dan dia sepatutnya mendapatkan rawatan susulan di hospital tapi dia tak sempat pergi disebabkan pandemik Covid-19.

"Sebelum dia meninggal, arwah pesan supaya hantar anak-anaknya ke JKM kerana bimbang saya tak mampu menjaga mereka tetapi saya tak sanggup," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tepi Laut, Kuala Kedah, di sini, hari ini.

Zaleha berkata, dia yang bekerja bermula 8 pagi hingga 5 petang setiap hari, menggalas tugas dengan memasak setiap pagi dan tengahari untuk tiga cucunya, Intan Safiqah Liana Nizamudin, 15, dan Nur Shamimi Amani, 11, serta Muhamad Hakimi, 6.

"Saya tidak mendapat sebarang bantuan dan hanya mengharapkan wang gaji diperoleh bagi menampung kehidupan kami sekeluarga.

"Dengan purata pendapatan bulanannya RM1,000 sebulan tidak cukup untuk saya membaiki rumah yang bocor dan hampir roboh akibat reput dimakan anai-anai," katanya.

Sementara itu Intan Safiqah Liana berkata, mereka hanya dapat mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) menggunakan telefon bimbit milik neneknya ketika Zaleha tidak bekerja dan terpaksa berkongsi dengan adik yang lain.

Nasib menimpa keluarga itu mendapat perhatian Pengerusi Cancer Survivor Malaysia (CSM), Zuraini Kamal yang membantu mengumpul dana berjumlah RM5,000 untuk membaiki rumah yang rosak itu.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bolehlah berbuat demikian di talian 016-6115816 atau akaun bank Bank Simpanan Nasional 0210829859681659 (Zaleha Muhamed).

Disiarkan pada: August 2, 2021 @ 2:05pm
d