mutakhir

Polis Johor lumpuh empat sindiket judi online terbesar

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Polis Johor melumpuhkan empat sindiket judi dalam talian terbesar di negeri ini dalam serbuan besar-besaran bermula 15 Julai sehingga Sabtu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, serbuan Op Dadu Khas itu memberi tumpuan kepada judi dalam talian membabitkan premis di semua daerah di negeri ini.

Katanya, tindakan tegas termasuk pemotongan bekalan elektrik ke atas premis judi online oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) selain pembatalan lesen perniagaan turut dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam operasi besar-besaran itu.

"Dalam Ops Dadu Khas seluruh Johor itu polis berjaya melumpuhkan lebih lima sindiket judi dalam talian dengan empat daripadanya membabitkan sindiket besar.

"Apa yang membimbangkan kita judi dalam talian ini memberi pengaruh buruk kepada masyarakat termasuk pelajar sekolah malah ramai penjawat awam dikesan turut terbabit.

"Ada penjawat awam terbabit judi dalam talian menggunakan semua gaji mereka untuk berjudi. Hari ini dapat gaji, esok semuanya habis digunakan untuk berjudi.

"Ada juga penjawat awam sampai berhutang dengan along semata-mata kerana judi dalam talian malah terdapat juga golongan VIP (kenamaan) turut terbabit dalam aktiviti itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, dalam operasi Ops Dadu Khas itu, sebanyak 90 premis rumah kedai diperiksa dengan 118 individu ditahan.

Katanya, 99 daripada yang ditahan membabitkan penjaga premis perjudian manakala 19 lagi adalah pemain yang berusia antara 19 hingga 58 tahun.

"Dalam serbuan berkenaan polis berjaya merampas 125 telefon bimbit pelbagai jenama, seunit komputer, seunit tablet selain wang tunai berjumlah RM20,184.

"Sebanyak 46 premis turut diambil tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh TNB daripada 146 premis yang dipohon dilakukan pemotongan berikutan terbabit judi dalam talian.

"Sebanyak empat premis turut dibatalkan lesen perniagaan berbanding daripada 137 premis yang kita pohon untuk dibatalkan lesen mereka.

"Polis berharap TNB dan PBT terus bekerjasama dengan polis dengan melakukan pemotongan elektrik dan pembatalan lesen perniagaan bagi memastikan operasi premis judi dalam talian dapat dilumpuhkan sepenuhnya, jika tidak ia tetap tidak akan dapat diatasi," katanya.

Ayob Khan berkata, bagi tangkapan individu terbabit kegiatan judi dalam talian akan disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana menjaga atau mengurus atau membantu tempat perjudian terbuka.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga bertindak mengikut Undang-Undang Rumah Judi Terbuka 1953 selain Seksyen 21A (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 ke atas premis yang menjalankan kegiatan judi dalam talian.

"Bagi tempoh 1 Januari tahun ini hingga Sabtu lalu, Polis Johor membuat 525 serbuan di negeri ini dengan 705 individu ditahan membabitkan 549 penjaga premis dan 156 pemain selain wang tunai berjumlah RM235,315 turut dirampas.

"Tindakan pemotongan elektrik dalam tempoh sama membabitkan 244 permohonan polis yang sudah dikemukakan kepada TNB dengan 74 sudah diluluskan manakala pembatalan lesen perniagaan membabitkan 224 permohonan polis dengan hanya sembilan sahaja lesen yang dibatalkan PBT," katanya.

Disiarkan pada: August 2, 2021 @ 2:18pm
d