mutakhir

JKJAV bincang perolehan tambahan vaksin Sinovac

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) akan bermesyuarat minggu ini bagi membincangkan mengenai perolehan tambahan vaksin Sinovac.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) Khairy Jamaluddin berkata, keputusan mengenainya akan dibuat bagi menampung kadar vaksinasi harian yang tinggi pada bulan ini.

Menurutnya, setakat semalam, sebanyak 28,154,280 dos vaksin diterima negara membabitkan Pfizer berjumlah 11,341,980 dos; AstraZeneca (2,412,300 dos) dan Sinovac (14,400,000 dos).

"Penghantaran bekalan seterusnya sudah dijadualkan yang mana sebanyak 1,800,630 dos vaksin Pfizer bermula hari ini sehingga 8 Ogos.

"Kita juga akan menerima sumbangan vaksin Astrazeneca daripada kerajaan United Kingdom (UK) pada minggu ini," katanya pada sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) secara maya, hari ini.

Ditanya mengenai syarikat pengeluar vaksin, Pfizer Inc dan Moderna Inc menaikkan harga vaksin dalam kontrak pembekalan kepada negara Kesatuan Eropah (EU), beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, Malaysia sudah memulakan rundingan perolehan Pfizer bagi 2022.

Bagaimanapun, katanya, rundingan berkenaan baru saja bermula dan perolehan yang dikehendaki negara serta harga jualan yang ditawarkan belum dimuktamadkan.

"Saya sudah bentang (harga vaksin) kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.

"Apabila dah dimuktamadkan nanti saya akan maklum kepada media sama ada harga sama dengan pembelian (sebelum ini) atau berubah," katanya.

Terdahulu, The Financial Times melaporkan harga baharu bagi suntikan Pfizer adalah €19.50 (RM97.76) berbanding harga lama €15.50.

Harga vaksin Moderna pula adalah AS$25.50 (RM107.78) bagi setiap dos, meningkat daripada €19 (RM95.26) dalam perjanjian perolehan pertama tetapi lebih rendah berbanding AS$28.50 (RM120.46) yang dipersetujui sebelumnya berikutan peningkatan permintaan, menurut laporan itu yang memetik sumber daripada pegawai terdekat.

Disiarkan pada: August 2, 2021 @ 2:19pm
d