mutakhir

Sokongan Bersatu pada Ismail Sabri 'solid'

Oleh Amir Abd Hamid dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: "Sokongan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri adalah 'solid' (padu sepenuhnya)," kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Eddin Syazlee Shith.

Beliau yang dihubungi tadi berkata, semua Ahli Parlimen Bersatu secara kolektif bersetuju dengan keputusan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memberi sokongan kepada Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera.

"Sebulat suara. Itu kita sudah serahkan kepada Tan Sri (Muhyiddin) untuk putuskan dan Bersatu setuju dah.

"Surat akuan bersumpah sudah siap dengan memberi sokongan penuh kepada Datuk Seri Ismail Sabri," kata Ahli Parlimen Kuala Pilah itu.

Terdahulu, hanya nama Ismail Sabri dinamakan sebagai calon Perdana Menteri ke-9 oleh Umno dan Barisan Nasional (BN).

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan yang mengesahkan ketetapan itu menerusi ciapan di Twitter.

Pada malam tadi, dua Ahli Parlimen BN mengesahkan Ismail Sabri menjadi pilihan BN sebagai calon Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said berkata keputusan itu dicapai secara kosensus dalam mesyuarat Ahli Parlimen BN.

Ahli-ahli Parlimen diberi masa selewat-lewatnya sehingga 4 petang ini untuk mengemukakan surat akuan secara bertulis dengan nama seorang yang mereka sokong sebagai Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ia susulan notis dikeluarkan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun semalam, yang meminta Ahli Dewan Rakyat menyerahkan surat akuan bersumpah menamakan seorang calon Perdana Menteri kepada Istana Negara, sebelum tempoh berkenaan.

Disiarkan pada: August 18, 2021 @ 3:27pm
d