mutakhir

Pukau juruwang dan larikan RM1,380

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Kampar: Seorang juruwang di premis menjual makanan sejuk beku dan barangan runcit di Jalan Iskandar di sini, mendakwa dipukau dua individu yang melarikan wang tunai RM1,380 Khamis lalu.

Ketua Polis Darah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, dalam kejadian jam 4.48 petang itu mangsa bertugas di kaunter bayaran sebelum didatangi dua suspek lelaki dan wanita dipercayai warga asing.

Katanya, suspek yang membeli barang membuat bayaran di kaunter dan mahu menukar wang RM100.

"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek lelaki mengambil sendiri semua wang RM50 dari mesin wang kaunter bayaran dan mengira di hadapan mangsa.

"Ketika mengira, suspek melipat wang di bahagian tangan kirinya dan memasukkan ke dalam poket seluarnya sebelum meletakkan kembali wang berkenaan di dalam mesin wang.

"Suspek melakukan perkara sama sekali lagi, sebelum beredar suspek mengambil wang RM100 dari mesin wang kaunter bayaran dan masukkan ke dalam poket seluarnya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Hasron, selepas beberapa pelanggan membuat bayaran mangsa berasa pelik dan membuat kiraan semula wang dalam mesin berkenaan dan mendapati ia berkurangan sebelum memaklumkan kejadian ini kepada pengurus kedai kerana disyaki dipukau lelaki berkenaan.

"Anggaran kerugian adalah RM1,380 dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut CCTV di tempat kejadian mendapati kedua-dua suspek adalah warga asing yang memakai pelitup muka itu masuk ke premis untuk membeli dua bungkus rempah sebelum ke kaunter untuk membuat pembayaran.

Katanya, siasatan mendapati kejadian berlaku ketika mangsa seorang diri di kaunter pembayaran manakala seorang lagi pekerja berada di stor," katanya.

Terdahulu tular di media sosial berhubung kejadian mangsa yang dipukau dua individu melalui rakaman CCTV.

Disiarkan pada: September 4, 2021 @ 1:54pm
d