mutakhir

11 penyu hijau diperlakukan secara kejam

Oleh Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Penyu ditangkap, sebelum dilapah dan isinya diambil untuk dimasak. Itu yang dilakukan individu tidak berperikemanusiaan ke atas 11 penyu hijau yang bangkainya ditemui di perairan Pantau-Pantau, Pulau Bum-Bum, Semporna.

Bangkai penyu malang itu yang sudah mula mereput ditemui 6 pagi hari ini oleh pasukan keselamatan yang menjalankan Op Bersepadu Khazanah.

Komander Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, pihaknya menemui sisa yang bersepah di perairan berkenaan bersama anggota Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Jabatan Perhutanan Sabah yang terbabit operasi sama.

Katanya, mereka juga menemui sebatang kail dipercayai digunakan untuk menangkap penyu.

"Selain itu, kita menemui dua karung berisi isi penyu yang sudah dimasak, bangkai penyu dan peralatan memasak.

"Namun pemeriksaan di sekitar lokasi tidak menemui suspek yang melakukan kegiatan berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Rani berkata, semua penemuan termasuk peralatan memasak yang keseluruhan dianggarkan RM8,200, dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997," katanya.

Disiarkan pada: October 2, 2021 @ 5:19pm
d