mutakhir

Risaukan keluarga sebelum meninggal kerana Covid-19

Oleh Rosli Ilham

Dungun: "Arwah sebelum ini menyatakan dia sangat risau tentang saya dan anak sekiranya dia tiada. Rupanya perkara ini benar-benar terjadi," kata A Aris Mohamad selepas isterinya, Azizah Salleh, 47, meninggal akibat Covid-19 pada 17 Ogos lalu.

A Aris, 47, dari Kampung Seberang Pintasan, di sini, berkata, isterinya kerap meluahkan perkara itu sebelum mengadu demam dan lemah anggota badan.

Katanya, selepas dua hari demam, arwah tidak mahu ke hospital kerana menganggap demam biasa.

"Bagaimanapun saya bertegas sebelum dia akur dan saya menghantarnya ke Hospital Dungun pada 3 Ogos.

"Ketika hendak bawa dia ke hospital, dia tidak mahu melepaskan pegangan tangan anak bongsu kami, Auni Syasya, 9, dan saya terus memujuknya sebelum menghantarnya ke hospital," katanya ketika menerima cek sumbangan Takaful Hibah bernilai RM75,000 daripada wakil syarikat FWD Takaful, Nur Fatihah Nabilah Ahmad Jelani di pejabat syarikat terbabit di Kampung Balai Besar, dekat sini, hari ini.

A Aris berkata, ketika hendak meninggalkan isterinya menjalani rawatan di hospital itu, isterinya itu berulang kali meminta maaf kepadanya sambil menggoncang tangannya dengan kuat.

Menurutnya, ketika itu dia langsung tidak menyangka isterinya dijangkiti Covid-19 dan meminta dia bertenang dan berdoa agar cepat sembuh.

"Doktor mengesahkan isteri saya mengalami masalah paru-paru sebelum menghantar isteri ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu beberapa jam selepas itu.

"Tiga hari selepas itu, saya menerima panggilan daripada Pejabat Kesihatan Daerah yang memaklumkan isteri positif Covid-19 dan mengarahkan saya bersama kesemua empat anak menjalani ujian dan keputusannya kami turut positif.

"Sepanjang menjalani rawatan, saya sempat berhubung dengan isteri melalui panggilan video dan isteri hanya berbahasa isyarat dengan dan meminta saya berdoa dan menjaga anak dengan baik," katanya yang bekerja sendiri.

Menurutnya, pada hari ke-10, doktor menghubunginya memaklumkan isterinya akan ditidurkan dan ketika itu dia sangat sedih dan bersedia untuk kehilangan arwah.

Katanya, pada 2 petang 17 Ogos dia menerima panggilan daripada pegawai perubatan memaklumkan isterinya tenat sebelum sekali lagi mendapat panggilan mengesahkan isterinya itu meninggal dunia pada 5.45 petang.

"Saya sangat sedih kehilangan isteri, kini saya terpaksa mengalas tugas menjaga dan membesarkan empat anak berusia 9 hingga 23 tahun.

"Saya tak ingat ada membuat caruman untuk diri sendiri dan keluarga sehinggalah dihubungi syarikat terbabit seminggu selepas isteri meninggal dan wang ini saya akan simpan dan gunakan untuk pendidikan anak," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 18, 2021 @ 7:57pm
    d