mutakhir

24 dicekup di 'port' dadah

Oleh Mohd Rafi Mamat

Bentong: Seorang kakitangan awam antara 24 individu yang ditahan kerana dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan dadah dalam serbuan polis di kawasan 'port' dadah di ladang kelapa sawit Felda Mempaga di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, dalam serbuan kira-kira 6 petang itu polis turut merampas 8.95 gram dadah jenis heroin dan 0.38 gram dadah jenis methamphetamine bernilai kira-kira RM500.

"Semua suspek berumur antara 27 hingga 62 tahun ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 39 A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12 (2) ADB 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952.

"Polis merakamkan terima kasih kepada orang ramai kerana membantu pihak polis dengan menyalurkan maklumat bagi membanteras jenayah, perjudian dan dadah di daerah ini," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, pihak polis akan melakukan operasi berterusan bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah di daerah ini membabitkan beberapa kawasan yang telah dikenal pasti sarang dadah.

Disiarkan pada: October 19, 2021 @ 10:22am
d