mutakhir

Sepang dan Kuala Langat alami gangguan air

Oleh Samadi Ahmad

Putrajaya: Sebanyak 145 kawasan di Sepang dan 11 kawasan di Kuala Langat mengalami gangguan air tidak berjadual disebabkan paip pecah berhampiran Simpang 3 LBJ, Kampung Chinchang, Salak Tinggi, Sepang, semalam.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) melalui satu kenyataan media memaklumkan, pihaknya menutup bekalan air pada 9 malam bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan.

"Setakat 6 pagi tadi, ini, pelaksanaan kerja-kerja pembaikan kecemasan mencapai 29 peratus.

"Kakitangan Air Selangor yang menjalankan pembaikan berhadapan beberapa cabaran kerana paip yang pecah itu terletak berhampiran sungai," katanya.

Menurutnya, proses pengukuhan tebing sungai perlu dilakukan terlebih dulu sebelum kerja-kerja pembaikan kecemasan dapat dilaksanakan.

"Air Selangor akan menggerakkan bantuan lori tangki ke kawasan yang terjejas dan keutamaan diberikan kepada premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan perkhidmatan pengebumian.

"Pengguna dinasihatkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika mendapatkan bekalan air dari lori tangki", katanya.

Air Selangor berkata, kerja pembaikan kecemasan dijangka selesai pada jam 6 petang ini.

Katanya, bekalan air dijangka akan disalurkan semula secara berperingkat ke kawasan terjejas bermula 6.30 petang ini dan dijangka pulih sepenuhnya pada jam 6 petang esok.

"Tempoh gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas akan berbeza bergantung pada jarak tempat pengguna dan tekanan air di sistem pengedaran," katanya.

Pengguna boleh merujuk di saluran komunikasi rasmi Air Selangor melalui Facebook, Instagram, Twitter atau menghubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di 15300 untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Pertanyaan dan aduan juga boleh disampaikan ke Pusat Bantuan melalui www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

Disiarkan pada: October 19, 2021 @ 10:23am
d