mutakhir

Polis terima 13 laporan terhadap Edisi Siasat

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani menyifatkan dakwaan salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah oleh pengendali saluran media sosial Edisi Siasat sebagai isu rekaan dan sengaja disensasikan.

Menurutnya, polis sudah membuka 13 kertas siasatan berhubung perkara itu.

"Sejak akhir-akhir ini, kita dapati terdapat satu akaun Twitter serta blog di atas nama Edisi Siasat yang menyiarkan berita sensasi mengenai isu dikatakan rasuah, salah guna kuasa serta penyelewengan dalam kalangan agensi kerajaan.

"Setakat ini, kita buka 13 kertas siasatan untuk menyiasat dan mengenal pasti pihak yang berada di belakang Edisi Siasat.

"Kebanyakan perkara yang disebarkan dalam Edisi Siasat itu sengaja diada-adakan untuk mewujudkan satu suasana sensasi," katanya pada sidang media selepas melancarkan Kempen Pencegahan Jenayah Komersial (Jenayah Dalam Talian) 2021, di sini, hari ini.

Acryl berkata, setiap perkara yang dinyatakan oleh Edisi Siasat berkenaan akan disalurkan kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) jika ia membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Setakat ini, kita masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti individu yang berada di sebalik tabir Edisi Siasat dalam masa terdekat," katanya.

Pada 1 November lalu, polis dilaporkan menerima 11 laporan daripada individu yang dikaitkan dengan dakwaan kes salah guna kuasa dan rasuah seperti didedahkan pengendali sosial Edisi Siasat.

Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri dilaporkan sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang membuat laporan polis berkaitan dakwaan salah laku rasuah termasuk seperti yang didedahkan pengguna laman sosial dinamakan Edisi Siasat sejak bulan lalu.

Antara kes yang didedahkan dalam saluran Telegram Edisi Siasat termasuk dakwaan kes kartel daging, kes kehilangan wang RM25 juta serta 1MDB.

Di Twitter @edisi_siasatmy pula memaparkan dakwaan beberapa pegawai tertinggi di Bukit Aman menjual pangkat polis selain menyalahgunakan kuasa dan menerima rasuah termasuk dalam bentuk kambing dan lembu.

- tamat

Disiarkan pada: November 8, 2021 @ 2:12pm
d